
“SAYA sudah lakukan yang terbaik termasuk meminta maaf jika ada yang masih terasa dengan apa yang berlaku.”
Itu penjelasan penyanyi, Shila Amzah berhubung insiden perselisihan faham yang berlaku antaranya dengan segelintir pihak media yang berpanjangan sejak lapan tahun lalu.
Menurutnya lagi, proses tersebut mematangkan dirinya, malah dia dan pihak itu (pengamal media) yang terlibat dalam satu kes membabitkan mahkamah sudah berbaik-baik.
“Sudah menjadi lumrah, ada yang suka dan tidak, sebelum kejadian itu sudah perkara itu telah pun berlaku.
“Apa yang penting, saya dan pihak terlibat sudah okay dan pada yang lain-lain jika ada yang masih terasa, saya sudah meminta maaf,” katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, dia beharap apa yang berlaku dapat menjadi teladan dan iktibar kepada orang lain supaya tidak melakukan kesilapan sama seperti dirinya.
Berkongsi tentang perkembangan terkini, Shila memberitahu, dia kini sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan karya-karya terbaharu termasuk satu lagi ciptaan sendiri.
Katanya, lagu tersebut berentak balada dan liriknya berkisar tentang apa yang berlaku pada dirinya.
“Lagu ini merupakan jawapan kepada persoalan ramai tentang apa yang berlaku dalam hidupnya yang mana sukar untuk dijelaskan dengan perbualan.
“Selain itu, saya juga akan lancarkan single baharu berjudul Khilaf Asmara, ciptaan sepenuhnya oleh Amylea Azizan, seterusnya lagu raya dan EP bersama SOG serta album,” ujarnya.
Terdahulu, insiden persilisihan faham antara Shila dan segelintir pengamal media (bahasa Melayu) bermula selepas penyanyi itu mengeluarkan kenyataan bahawa media bahasa Cina lebih banyak menceritakan perkembangkan kariernya ketika itu.
Shila juga pernah mengemukakan saman terhadap seorang pengamal media berkaitan penerbitan sebuah artikel berunsur fitnah pada 17 September 2014. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram