Kisah cinta Nabila Razali bakal jadi drama


  • Hiburan
  • Isnin, 28 Mac 2022

NABILA akui 50 peratus kisah dalam novel Kerana Cinta Itu Ada adalah berdasarkan pengalaman cintanya.

MENDAPAT lebih 4 juta tontonan di YouTube, lagu Putus dendangan Nabila Razali akan dibawa ke dalam bentuk novel pula dan ditulis oleh novelis popular, Sophilea.

Menurut Nabila, idea untuk menjadikan lagu Putus ke dalam bentuk sebuah novel dengan judul Kerana Cinta Itu Ada sudah lama dirancang.

"Bagi saya lagu Putus mempunyai jalan cerita yang menarik iaitu tentang seorang gadis yang nekad untuk mengakhiri hubungannya dengan kekasih yang tetap melukainya walaupun telah diberikan peluang kedua.

"Banyak lagi yang saya ingin ceritakan dalam lagu namun ia terbatas. Jadi, saya ambil peluang itu untuk mengembangkan lagi menjadi novel," katanya.

Memilih untuk bekerjasama dengan Sophilea, Nabila berkata, dia cukup bersyukur kerana hajatnya untuk melihat Putus dijadikan sebuah novel tercapai.

Menurut Nabila, dia mengakui yang 50 peratus kisah di dalam novel itu adalah berkisar tentang perjalanan dirinya.

"Ini sebenarnya merupakan kisah cinta lama saya selepas putus hubungan dengan seseorang.

"Tetapi tidaklah 100 peratus kisah di dalam novel itu adalah pengalaman saya. Ada beberapa yang kita ubah sedikit untuk menarik minat pembaca," katanya.

Dalam pada itu, Nabila berkata, dia juga berhajat untuk menjadikan lagu Putus sebagai sebuah drama pula selepas ini.

"Perancangan sudah ada tetapi bila itu nanti kita akan maklumkan. Jadi, kena baca dulu novel yang dihasilkan ini," katanya.

Untuk rekod, novel Kerana Cinta Itu Ada diedarkan oleh Mask Team dan boleh didapati secara dalam talian bermula 14 Mac dengan harga RM35 bagi Semenanjung Malaysia, manakala RM38 di Sabah dan Sarawak.

Novel ini juga bakal berada di kedai buku seluruh Malaysia dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

hiburan, nabila razali, penyanyi, putus, cinta, drama, novel