'Tindakan Will Smith tampar Chris Rock adalah marah yang terpuji'


  • Hiburan
  • Isnin, 28 Mac 2022

INSIDEN Will Smith menampar pelawak, Chris Rock sewaktu siaran langsung Oscars 2022 pada Isnin (waktu Malaysia).  — Agensi

SIAPA yang tidak marah jika orang kesayangan dipersenda di hadapan umum, situasi itu berlaku kepada pelakon terkenal Will Smith yang bertindak menampar pelawak, Chris Rock sewaktu siaran langsung Oscars 2022 pada Isnin (waktu Malaysia).

Difahamkan, insiden itu berlaku kerana Smith berang apabila Rock mempersenda isterinya, Jada Pinkett-Smith yang kini tampil dengan imej botak kerana masalah kesihatan.

Sejurus selepas melakukan tindakan yang mengejutkan seluruh khalayak penonton, Smith turun dari pentas dan kembali ke tempat duduknya seraya menjerit ke arah Rock dengan mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan.

Ramai warganet yang menyifatkan tindakan Smith itu adalah tindakan wajar yang dilakukan oleh suami apabila seseorang mempersenda ahli keluarganya terutama isteri sendiri.

Bagi pengguna Twitter, Fakhri Fadzli tindakan Smith itu adalah sifat marah yang terpuji seperti yang dinyatatakan ulama tersohor, Hamka dalam bukunya Tasawuf Moden.

WhatsApp Image 2022-03-28 at 15.03.31

TANGKAP layar pengguna Twitter, Fakhri Fadzli

"Hamka dalam Tasawuf Moden sebutkan marah yang terpuji hanya ada dua sahaja.

"Marah mempertahankan kehormatan dan marah mempertahankan agama," katanya.

Menurutnya, tindakan Smith itu adalah marah yang mempertahankan maruah dan orang yang tidak marah dalam situasi tersebut adalah orang yang dayus.

Bagi satu lagi pengguna Twitter, Faisal Rahim, tindakan Smith itu adalah satu tindakan yang berani kerana berjaya tampil untuk mempertahankan maruah isteri.

"Gurau pun ada batasannya. Bukan semua benda boleh buat gurau. Kalau zaman 1500-an dulu, suami yang biar keluarga kena hina ini mungkin dayus atau lemah fizikalnya," katanya.

Terbaru, Smith yang memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik buat kali pertama kali di Oscars tampil membuat satu permohonan maaf kepada semua pihak khususnya penganjur Anugerah Academy di atas tindakannya.

Dalam pada itu, Rock juga difahamkan tidak akan membuat laporan polis terhadap pelakon itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram