"SAYA nyanyi ikut kemampuan dan minta supaya lagu itu diolah sedikit," demikian itu kata penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berhubung persembahannya menyanyikan lagu Semalam bersama penyanyi asalnya Aina Abdul di pentas final Big Stage 2022 pada malam Ahad.
Katanya dia menyedari batas kemampuannnya yang tidak boleh mencapai semua nada tinggi seperti susunan lagu asal.
"Saya mulakan dengan apa yang boleh menyentuh perasaan, oleh itu saya minta pengarah muzik untuk mengubah lagu itu dengan tempo yang lebih perlahan dan mendayu-dayu," katanya kepada Majoriti.
Pada malam akhir pentas Big Stage musim keempat, Siti Nurhaliza yang juga juri tetap pertandingan itu turut membuat persembahan istimewa bersama juri jemputan, Aina Abdul.
Kedua-dua penyanyi itu memukau dengan kekuatan vokal menerusi lagu Semalam (nyanyian Siti) dan Aina Abdul pula membawakan lagu Purnama Merindu.
Kata Siti Nurhaliza lagi, pada awalnya dia mahu membawakan lagu Sumpah, namun memandangkan lagu itu sudah dinyanyikan oleh salah seorang peserta (Aisha Retno) jadi beliau kemudiannya memilih Semalam.
"Mula-mula kita ingat nak buat mash-up, Semalam dan Purnama Merindu, tapi fikir balik, kita bukan nak bertanding, kita nak orang puas dengar kita menyanyi.
"Saya cuma nyanyi daripada hati dan menjiwai lagu tersebut yang mana ia memang sudah sedap," ujarnya.
Tambahnya lagi, dia juga kagum dengan kreativiti Aina Abdul dan kalau boleh mahu menyanyikan lagu hasil ciptaan penyanyi berbakat besar itu suatu hari nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram