KES pembunuhan pasangan ibu dan anak di Kabupaten Subang, Jawa Timur, Indonesia masih menjadi misteri.
Sudah tujuh bulan kes itu berlalu, namun sehingga kini polis masih belum berjaya mencari suspek dan motif kepada kematian Tuti Suhartini, 55, dan Amalia Mustika Ratu, 23.
Meskipun mengambil masa yang panjang, adik kepada suami mangsa, Mulyana yang mewakili abangnya, Yosef Hidayah berkata, mereka sekeluarga tidak berputus asa dan masih berharap agar misteri di sebalik pembunuhan itu dapat diselesaikan segera oleh pihak polis.
"Kami masih menaruh harapan sepenuhnya agar pihak penyiasat dapat merungkai motif kejadian ini secepat mungkin," katanya seperti dipetik Tribun Bali pada Sabtu.
Sebelum ini, penduduk di Subang dikejutkan dengan penemuan mayat ibu dan anak berlumuran darah di dalam but kereta jenis Alphard di Dusun Ciseuti, Desa Jalan Cagak, Jalan Cagak, Kabupaten Subang pada Rabu, 18 Ogos 2021.
Polis mengesahkan mayat itu adalah mangsa pembunuhan.
LAKARAN wajah suspek kes pembunuhan anak dan ibu di Subang. — Agensi
Sementara itu, Mulyana mengakui sebagai salah seorang daripada ahli keluarga mangsa, dia mahu mempersoalkan mengapa kes itu mengambil masa yang lama untuk dibongkar.
Pada masa sama, dia turut berpesan kepada masyarakat umum supaya lebih fokus kepada kes pembunuhan yang meragut nyawa keluarganya dan tidak menyebarkan berita mengelirukan.
Yosef Hidayah pula berharap pihak polis dapat menunaikan janji mereka yang mengatakan kes itu dapat dirungkai sekurang-kurangnya pada bulan April depan.
Ini kerana lakaran wajah suspek pembunuh yang telah diedar pihak polis kepada masyarakat umum, tidak memberi sebarang petunjuk sekali gus menyebabkan penyiasatan itu menemui jalan buntu.
Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Jawa Barat, Ibrahim Tompo berkata, pihaknya sudah meneliti lebih 200 bukti.
"Pemeriksaan juga dilakukan dengan lebih mendalam terhadap lebih 100 saksi. Sehingga kini, kita telah memeriksa 118 saksi, dengan sebahagian daripadanya diambil kenyataan manakala ada yang disoal siasat," kata Tompo.
Daripada ratusan saksi itu, katanya, terdapat beberapa saksi yang diminta keterangan termasuk artis pelukis lakaran wajah dan doktor kesihatan mental.
“Ya, kita telah melibatkan beberapa saksi pakar dalam kes ini termasuk pakar perubatan forensik selain pengendali anjing K9,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram