KEBANYAKAN struktur paparan iklan di dalam rizab jalan Persekutuan yang tidak mengikut spesifikasi adalah merupakan struktur yang telah didirikan tanpa kelulusan Kementerian Kerja Raya (KKR).
KKR berkata, kesalahan mendirikan struktur papan iklan tanpa kelulusan caj pendudukan itu dikesan menjadi kesalahan paling banyak diambil tindakan penguatkuasaan sepanjang tahun lepas.
Menurut KKR, terdapat juga papan tanda didirikan secara haram terletak di luar kawasan dalam bidang kuasa pihaknya iaitu dalam kawasan bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain pihak berkuasa berkenaan.
Katanya, jika sesuatu paparan iklan didirikan di dalam Right-of-Way (ROW) jalan rizab kementerian tanpa kelulusan KKR, ia dianggap sebagai struktur haram.
"Bagi struktur haram ini tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah dengan mengalih atau merobohkan struktur paparan tersebut.
"Ini selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan kepada Menteri Kerja Raya di bawah Seksyen 84 Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333]," katanya dalam satu kenyataan kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, KKR berkata, bagi struktur paparan iklan didirikan di luar ROW (luar pagar), ia adalah di luar bidang kuasa pihaknya untuk mengambil sebarang tindakan terhadap struktur tersebut.
"Bagi struktur-struktur tersebut, KKR sedang berkolaborasi dengan PBT dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) untuk tindakan seterusnya," kata kenyataan itu.
KEADAAN struktur sebuah papan iklan di sekitar Tol Jalan Duta yang menggunakan besi nipis sehingga kesan bengkok kelihatan.
Berhubung papan tanda yang telah usang, KKR berkata, kebanyakan paparan iklan berkenaan merupakan struktur yang tidak mempunyai kelulusan kementerian.
"Bagi paparan iklan haram ini, pihak kementerian akan mengambil tindakan penguatkuasaan dengan memberi notis kepada pemilik struktur untuk mengalih atau meroboh struktur tersebut.
"Jika pemilik struktur gagal berbuat demikian dalam tempoh masa yang ditetapkan, pihak kementerian akan melaksanakan pengalihan atau perobohan mengikut tatacara yang ditetapkan," jelasnya.
KKR berkata, pemilik struktur hendaklah membuat penyelenggaraan berkala ke atas struktur paparan iklan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan dan Laporan Penyelenggaraan Struktur tersebut hendaklah dikemukakan kepada kementerian dan PBT.
Selain itu, katanya, pemilik struktur juga dikehendaki mengemukakan Laporan Integriti Struktur yang diperakui oleh jurutera bertauliah kepada kementerian dan PBT pada setiap tahun bagi mengesahkan struktur adalah dalam keadaan baik serta selamat.
"Kementerian berharap PBT tidak meluluskan sebarang permohonan pembinaan struktur di dalam dan luar rizab Jalan Persekutuan yang tidak mempunyai kelulusan KKR," katanya.
ANTARA paparan iklan haram yang didirikan tanpa kelulusan dan tidak mengikut syarat teknikal. — Ihsan KKR
Pada masa sama, KKR memaklumkan bahawa setiap permohonan yang dikemukakan kepada pihaknya dikehendaki menyertakan Pelan Lakaran Struktur yang disedia dan diluluskan oleh jurutera bertauliah.
Ini menurutnya, bagi memastikan reka bentuk dan spesifikasi struktur yang akan dibina mematuhi Tatacara Permohonan Mendirikan Struktur Paparan Iklan dalam Rizab Jalan Persekutuan/ Lebuhraya 2020 sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan.
Selain itu, katanya, pemohon juga perlu mendapatkan Permit Kerja Pemasangan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) di daerah masing-masing sebelum kerja-kerja pemasangan dibuat.
"Sijil Kelayakan bagi Struktur Paparan Iklan di dalam Rizab Jalan Persekutuan akan dikeluarkan selepas struktur tersebut siap dipasang.
"Semua permohonan pembinaan struktur paparan iklan juga perlu mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) melalui pusat setempat (one-stop-centre) di peringkat PBT," katanya lagi.
Dalam pada itu, bagi tindakan penguatkuasaan, KKR berkata, sebanyak 157 bilangan struktur paparan iklan diturunkan tahun lalu dengan sejumlah 136 di lebuh raya manakala baki 21 di jalan Persekutuan.
"KKR juga mengeluarkan sebanyak 392 Notis Makluman Penurunan kepada pemilik paparan iklan yang dikesan melakukan kesalahan terbabit," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram