'Pilih bulu' antara sebab D’OtaiBoyz cuba nasib di Malaysia


  • Hiburan
  • Khamis, 24 Mac 2022

KUMPULAN D'OtaiBoyz mempertaruhkan genre rock kapak untuk single baharu mereka.

RAMAI sebenarnya artis daripada Singapura yang mencuba nasib dalam industri seni tempatan dan satu daripadanya ialah kumpulan D’OtaiBoyz.

Ditubuhkan sejak 2007, D'OtaiBoyz mempunyai sebab mengapa mereka mencuba nasib dalam industri seni tempatan.

"Untuk berada di Singapura sebenarnya agak sukar disebabkan atas sikap 'pilih bulu'. Contoh macam band/artist solo tu sudah terkenal baru media akan layan atau pun artis itu ada 'cable' dalam dan juga pilihan produser televisyen, bukan ikut kata majoriti penonton atau pendengar.

"Itu sebab saya rasa lebih baik market di luar Singapura seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei. Macam lagu Permata Ku ini Alhamdulillah ada beberapa radio-radio dan akhbar di Malaysia sudah siarkan tentang band kami termasuk di Indonesia," kata Man yang juga pemain keyboard kumpulan kepada Majoriti.

Selain Man, D’OtaiBoyz yang turut dianggotai oleh Lee (dram), Khai (bes), Nazry (gitar), Dzoul (Gitar) dan Boy Botak turut mempertaruhkan genre yang cukup jarang menjadi taruhan penyanyi lain iaitu rock kapak.

"Sebenarnya memang sukar juga untuk kami ketengahkan lagu berentak rock kapak atau rock lama disebabkan generasi penyanyi sekarang tidak cenderung ke arah rock.

"Saya rasa band dan rock akan pupus tapi kita tak tahu bila, saya cuba mempertahankannya. Sasaran kami ialah untuk pendengar-pendengar lingkungan umur 40an ke atas. Tapi kami tetap cuba memperbaharui dari segi sound contoh seperti band UKAYS, Khalifah dan Projector Band," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram