Pengawal keselamatan didakwa bunuh, bakar wanita dalam bengkel sekolah


TIADA jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 25 Mei depan untuk serahan dokumen. — Sinar Harian

SEORANG pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Rabu atas satu pertuduhan membunuh seorang penyelia kedai buku sekolah di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dua minggu lalu.

Muhamad Yusri Latiff, 35, yang memakai baju T berkolar warna kuning mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Wong Chai Sia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Fong Hsu Kei, 25, di bengkel Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia pada jam 1.45 hingga 5.30 petang, 12 Mac lalu.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Phulrani Kaur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 25 Mei depan untuk serahan dokumen.

Pada 12 Mac lalu, mayat seorang wanita disyaki dibunuh ditemui dalam keadaan rentung di bengkel kemahiran hidup sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, mangsa dikenal pasti sebagai penyelia kedai buku, berusia 25 tahun yang bertugas di sekolah tersebut.

Dua hari kemudian, polis menahan pengawal keselamatan sekolah terbabit bagi membantu siasatan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram