TIADA polisi khusus yang membenarkan parti politik memiliki beberapa peratus jumlah rumah kos rendah untuk diberikan kepada ahlinya sebagai ganjaran setia kepada parti.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, kerajaan mengamalkan pengagihan rumah mampu milik yang saksama dengan unit hanya diagihkan kepada pemohon yang layak iaitu daripada golongan pendapatan B40 dan M40 tanpa mengambil kira fahaman politik mereka.
Ismail juga berkata, beliau tidak pernah mendengar tentang polisi sedemikian yang memperuntukkan beberapa peratus rumah mampu milik dikhaskan untuk perantara yang mempunyai hubungan politik seperti yang didakwa Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam).
“Sepanjang berada di kementerian dan sebelum ini, saya tidak pernah mendengar tentang dasar ini. Bagi pelaksanaan program rumah mampu milik, apabila kita mengagihkan rumah ini, kita tidak pernah melihat parti politik, agama, budaya dan sebagainya.
“Mereka yang layak seperti B40 dan M40 akan mendapat peluang memiliki rumah,” katanya pada sesi soal jawab di Parlimen pada Rabu.
Terdahulu, Khalid menyatakan soalan berkenaan mengenai skim “Kuota Menegak Kerajaan” (KMK) di Johor, yang melibatkan kuota rumah mampu milik yang dikhaskan untuk permohonan melalui parti komponen Barisan Nasional.
Khalid berkata, skim itu telah dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 tetapi bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad telah berjanji untuk mengembalikannya jika Barisan Nasional itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Beliau juga mendakwa Ketua Bahagian Umno antara yang menerima rumah kos rendah walaupun sudah memiliki rumah lain.
“Dalam skim KMK, 20% rumah kos rendah diagihkan melalui parti sebagai usaha memberi ganjaran kepada ahli setia dengan memberi mereka rumah kos rendah walaupun mereka mungkin sudah mempunyai rumah sendiri.
“Apakah pendapat menteri mengenai dasar itu dan adakah kerajaan bersedia memberi jaminan bahawa (ia) akan berakhir?” tanya Khalid.
Ismail mengulangi bahawa beliau pasti tiada dasar seumpama itu dilaksanakan dan tambahan pula, tiada data mengenainya.
Terdahulu, Ismail berkata, kerajaan telah memulakan analisis Big Data pada Februari tahun lepas dan dijangka berakhir Jun ini untuk memahami kedudukan sebenar pasaran hartanah serta mengatasi masalah hartanah tidak terjual.
Beliau juga berkata, terdapat keperluan untuk repositori supaya pemain utama dalam industri perumahan boleh menggunakan data yang sama berkaitan penawaran dan permintaan perumahan, keupayaan pemilikan rumah, ketersediaan pembiayaan, unjuran keperluan perumahan dan banyak lagi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram