
TAMPIL dengan lagu baharu berjudul Ku Ikhlaskan, penyanyinya, Datuk Seri Vida sekali lagi menjadi tumpuan netizen.
Ada yang mengecam dengan menganggap bahawa apa yang dilakukan Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman sebagai sesuatu yang keterlaluan.
Malah, beberapa gambar daripada klip video yang memaparkan gaya Vida juga ditularkan dengan kata-kata yang sinis.
Namun, di sebalik video klip yang menelan belanja sebanyak RM400,000 itu, tersembunyi niat ikhlas usahawan kosmetik itu.
Menurut Vida, pembikinan lagu dan muzik video (MV) itu adalah satu usaha untuknya mengumpul dana bagi menyiapkan Pusat Tahfiz & Syahadah Al Zikri Wa Zuhdie di Meru, Ipoh, Perak miliknya.
"Lagu dan MV ini sebagai saham akhirat saya dalam menyiapkan Pusat Tahfiz & Syahadah selain ingin menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
"Ditambah pula kita tidak lama lagi bakal menyambut Ramadan, jadi saya kira ini peluang untuk kita menambah dan mendapatkan pahala berganda sekali gus diberkati ALLAH.
"Selepas menghayati lagu dan menonton MV ini, besar harapan agar orang ramai, peminat dan sesiapa saja dapat menderma supaya tercapai segera hasrat saham ilmu dan amal kebajikan ini," katanya.
Dalam pada itu, Vida turut memberitahu yang lagu baharunya itu bukan sekadar luahan kisah peribadinya.
"Lagu ini bukan sekadar kisah peribadi, tapi sarat dengan emosi duka lara yang dialami saya. Dalam lagu ini saya mahu menyampaikan keperitan, kehilangan, kecaman bertubi yang saya hadapi selama ini.
"Bayangkan selama ini sekecil perkara membabitkan diri saya diambil kira dan diperbesarkan hingga tular malah ada yang mencetuskan kontroversi. Pendek kata, sebesar hama pun diambil kira," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram