Hobi bela ayam kampung kini jadi punca rezeki pesara guru


  • Hobi
  • Selasa, 22 Mac 2022

MOHD Adnan menggunakan alat inkubator bagi proses pengeraman telur ayam kampung. — Bernama

BERMULA sekadar hobi, seorang pesara guru kini meraih pendapatan lumayan daripada menternak ayam kampung.

Malah, Mohd Adnan Mamat, 62, berkata, minat mendalam terhadap bidang penternakan menyebabkannya mengambil keputusan bersara awal pada tahun 2015.

Katanya, sebaik bersara, beliau mengikuti kursus di dalam dan luar negara seperti di Indonesia mengenai kaedah penternakan ayam kampung secara komersial.

"Pada permulaan, saya menggunakan modal sendiri, sebelum mendapat bantuan peralatan bernilai RM10,000 daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta Bantuan Al-Falah Kumpulan Pertanian Kelantan Bhd berjumlah RM7,000.

"Ayam kampung dijual pada harga RM13 sekilogram. Saya mampu mendapat pulangan sekitar RM3,000 sebulan hasil jualan ayam kampung ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Jenereh Bongkok di Machang, Kelantan.

file7k66vy1m0vknhjupca8

MOHD Adnan melihat ayam kampung hitam berharga RM400 seekor yang juga spesis paling dicari oleh pelanggan. — Bernama

Bercerita lanjut, Mohd Adnan berkata, ternakan itu mudah dijaga menerusi kaedah yang betul, seterusnya mengurangkan risiko terkena serangan penyakit.

"Saya beri ayam kampung peliharaan makan dua kali sehari pada sebelah pagi dan petang seperti sisa makanan, dedak dan jagung.

"Ayam kampung mempunyai permintaan sangat tinggi sehingga menyebabkan saya tidak menang tangan untuk penuhi permintaan. Saya kini memiliki dua reban ayam bagi memastikan bekalan ayam tidak putus,” katanya.

Bagi menjimatkan kos penternakan, katanya, beliau turut mempelajari kaedah dari Indonesia dalam menghasilkan makanan ayam menggunakan hampas kelapa, sisa ikan dan ayam. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram