'Jika keadilan terhadap kematian Tangmo pun sukar ditegakkan, apatah lagi kita rakyat biasa'


  • Benua
  • Selasa, 22 Mac 2022

UPACARA penghormatan untuk mendiang Tangmo yang diadakan di Liberty Church Bangkok baru-baru ini. — Agensi

POLIS Thailand masih belum memberikan penjelasan munasabah berhubung punca kematian aktres Nida 'Tangmo' Patcharaveerapong, yang boleh dianggap dapat memuaskan hati masyarakat negara itu.

Bekas polis yang juga pakar kriminologi, Krisanaphong Poothakol berkata, sifat 'terkompromi' di tempat kejadian mungkin dapat dielakkan dengan pengendalian profesional yang lebih baik daripada penguatkuasa undang-undang dan penyiasat polis berpengalaman.

Menurut Krisanaphong, walaupun jenis bukti yang dikumpul di lokasi kejadian berbeza-beza mengikut jenayah, namun bukti fizikal dan keterangan adalah dua jenis bukti umum yang terlibat.

Katanya, kedua-duanya disiasat secara lanjut menggunakan sains dan undang-undang untuk menentukan keputusan.

"Bukti-bukti fizikal terdiri daripada data yang boleh diukur, contohnya bukti forensik seperti cap jari, rambut atau gentian objek dan sebagainya.

"Sementara itu, bukti testimoni terdiri daripada pemerhatian oleh saksi. Terdapat juga bukti demonstratif dan bukti dokumentari yang memainkan peranan dalam mewujudkan senario yang boleh dipercayai tentang apa yang berlaku.

"Semua ini diperlukan untuk menjadikan kes jenayah itu munasabah seterusnya membawa keadilan kepada mangsa," katanya seperti dipetik Bangkok Post.

4259967

UPACARA penghormatan untuk mendiang Tangmo di jeti Phibul Songkhram 1. — Agensi

Krisanaphong berkata, situasi yang dihadapi oleh penyiasat ketika berdepan jenayah sedemikian akan menentukan pendekatan yang digunakan untuk memproses tempat kejadian.

Dalam kes penyiasatan kematian Tangmo, Krisanaphong menegaskan bahawa kerumitan timbul disebabkan oleh pelbagai faktor, bermula daripada fakta bahawa insiden itu berlaku di atas bot yang sedang bergerak.

Dengan itu, katanya, hanya penumpang di atas bot terbabit menjadi satu-satunya saksi yang boleh menawarkan keterangan terhadap kejadian itu.

"Polis sepatutnya lebih proaktif dalam mendapatkan keterangan mereka secepat mungkin.

"Seorang penyiasat polis berpengalaman akan mengambil langkah untuk menyoal saksi selain membuat ujian alkohol dan dadah secepat mungkin.

"Polis perlu mengambil senario terburuk dalam situasi sedemikian. Mereka harus menjalankan siasatan awal secara teliti walaupun jika ia akhirnya menjadi kes lemas secara tidak sengaja.

"Apabila berfikiran proaktif, anda akan nampak keperluan untuk merampas bot supaya penyiasat mempunyai masa yang panjang untuk mengumpul bukti-bukti penting bagi menentukan perjalanan kes itu," jelasnya.

Krisanaphong berkata, ini adalah keputusan penting yang perlu diambil kerana bukti forensik boleh hilang jika tidak dikumpul dengan segera.

"Dengan menjalankan pemeriksaan sistematik ke atas perkara ini, penyiasat boleh mendedahkan bukti fizikal yang diperlukan untuk membantu mengenal pasti apa yang berlaku dan siapa yang terlibat," ujarnya.

4259971

SIDANG media pendedahan keputusan bedah siasat mendiang Tangmo yang dihadiri ibunya, Pattarathida, pegawai polis dan peguam. — Agensi

Ketika mengulas mengenai perkembangan siasatan kematian Tangmo, Krisanaphong berkata, tingkah laku profesional penguatkuasa undang-undang yang dihantar ke tempat kejadian pada awalnya turut menjadi tanda tanya.

"Seseorang yang mempunyai pengalaman dalam bidang penyiasatan, terutamanya dalam soal siasat, akan serta-merta mengetahui prosedur yang perlu diambil apabila berhadapan dengan situasi sedemikian.

"Tanpa pengalaman mencukupi, terdapat kekurangan kemahiran dan taktik yang jelas dalam pendekatan pegawai terhadap situasi berkenaan," katanya.

Krisanaphong percaya, kerenah birokrasi dalam sistem pemerintahan semasa dan keengganan memperkenalkan satu bentuk reformasi dalam sistem kepolisan terus membelenggu isu berkaitan siasatan.

"Pegawai yang tidak mempunyai hubungan dengan pengurusan atasan berisiko dipindahkan ke jabatan lain. Dalam hal ini, mereka tidak bersedia untuk mengendalikan perkara itu secara peribadi namun tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan kerana ia adalah arahan daripada pegawai penyelia.

"Birokrasi sedemikian juga boleh menjadi batu penghalang dalam siasatan pihak berkuasa.

"Sebab itu, saya percaya pentadbiran polis memerlukan suatu pembaharuan yang merupakan sebahagian daripada undang-undang perlembagaan," katanya.

Berhubung hala tuju kes Tangmo, beliau berkata, kes itu akan bergantung kepada pengumpulan bukti yang sepatutnya membentuk gambaran tentang apa yang menyumbang kepada kematian malang aktres terbabit.

"Sebagai pengajaran, kes Tangmo adalah peringatan bahawa Thailand perlu bekerja lebih keras ke arah menjadi sebuah negara yang mana keadilan boleh ditegakkan untuk semua.

"Jika kematian seorang selebriti terkenal pun sukar untuk mendapatkan keadilan, bagaimana pula dengan kita yang hanya rakyat biasa?", soalnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram