Janda anak enam di Melaka rugi ratusan ribu ringgit, terpedaya janji palsu jejaka FB


  • 112
  • Jumaat, 18 Mac 2022

MANGSA memindahkan wang berkenaan ke akaun suspek menerusi beberapa transaksi. — Facebook

SEORANG ibu tunggal enam anak kerugian RM225,900 selepas menjadi mangsa ‘love scam’ atau penipuan cinta oleh lelaki yang dikenali menerusi laman Facebook sejak Oktober lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supritendan E. Sundra Rajan, wanita berusia 48 tahun dan bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah syarikat swasta itu sering berhubung dengan lelaki yang mengaku merupakan rakyat Malaysia tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

Ujarnya, lelaki itu turut mendakwa dia adalah seorang duda dan mempunyai perniagaan di luar negara.

"Bagi meyakinkan dan mengaburi wanita itu, lelaki berkenaan meminta mangsa memindahkan wang miliknya dari akaun ‘West Business Finance’ berjumlah AS$42,000 (RM176,000) ke akaun Bank of China bagi menunjukkan dirinya memiliki banyak wang.

"Lelaki itu telah memberikan maklumat akaun bank dan kata laluan yang berdaftar atas namanya kepada mangsa untuk melakukan transaksi pindahan wang itu,” jelasnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, lelaki berkenaan meminta bantuan mangsa sekali lagi untuk membuat pindahan wang dari akaun West Business Finance itu ke akaun Maybank milik ibu lelaki tersebut berjumlah RM10,000 namun transaksi itu tidak berjaya.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian meminta wanita berkenaan mendahulukan wang untuk dipindahkan ke dalam akaun yang didakwa milik ibu lelaki tersebut dan disebabkan percaya dengan janji bahawa mereka akan mengikat tali pertunangan pada Januari 2022, wanita itu memindahkan wang RM10,900 ke akaun yang diberikan.

"Suspek sekali lagi meminta bantuan mangsa untuk memindahkan wang dari akaun West Business Finance sejumlah RM2.5 juta ke akaun sebuah firma guaman dengan mendakwa bayaran itu bertujuan untuk pembelian rumah di Setia Alam, Selangor.

"Transaksi itu bagaimanapun dikatakan tidak berjaya kerana pemindahan dengan amaun yang tinggi perlu dikenakan bayaran kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan suspek meminta mangsa mendahulukan wang miliknya kepada IMF dan membuat lapan kali transaksi pindahan wang berjumlah keseluruhan RM215,000 ke akaun yang diberikan suspek,” katanya.

Menurut Sundra Rajan, wanita itu menyedari dirinya ditipu selepas mesej WhatsApp miliknya disekat dan lelaki tersebut menghilangkan diri.

Ujar beliau, wanita berkenaan membuat laporan mengenai kejadian di Balai Polis Banda Hilir, Melaka pada 26 Februari lalu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram