GANDINGAN duo import Selangor FC dari Brazil, Herlison Caion dan Henrique Hyuri tampak berbisa pada dua perlawanan awal Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Caion tidak menunggu lama untuk memastikan gelaran penyerang berbisa kekal menjadi miliknya apabila meledak lima gol setakat ini bersama Selangor.
Hyuri pula menyumbat dua gol bersama The Red Giants.
Sekiranya anda membaca kisah tentang Carlos Henrique Raposo atau lebih dikenali sebagai Carlos Kaiser, tentu anda mengetahui dia merupakan 'penipu terbesar dalam dunia bola sepak'.
Menariknya, Hyuri merupakan anak saudara kepada Kaiser.
Kaiser menikmati kerjaya sebagai bintang bola sepak Brazil selama lebih dua dekad dan ditandatangani oleh kelab-kelab besar di negara berkenaan.
Malahan, Kaiser juga diterima dalam pasukan bola sepak dari Amerika Selatan, Amerika Syarikat (AS) serta Eropah.
Namun, Kaiser tidak pernah menjaringkan sebarang gol sepanjang kariernya kerana sering melakukan perbuatan licik sewaktu diminta untuk beraksi.
Berbeza dengan Kaiser, Hyuri pula merupakan seorang penyerang prolifik yang bermain di kebanyakan kelab di Brazil, China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Hyuri merupakan produk akademi Audax Rio yang berpangkalan di Sao Jao de Meirit, negeri Rio de Janeiro.
Pada 2011, Hyuri melakukan debut senior bersama Audax Rio dan melakukan 50 penampilan serta menjaringkan 15 gol sepanjang dua musim bersama kelab tersebut.
Selepas itu, Hyuri dipinjamkan ke Botafogo sebelum kelab China, Guizhou Renhe mendapatkannya secara tetap.
HYURI banyak berkelana sebelum melebarkan kariernya di Selangor. — The Star
Walaupun beraksi selama semusim bersama Guizhou Renhe, Hyuri mampu meledak 16 gol dalam 57 penampilan bersama kelab terbabit.
Pada 2016, Hyuri berpindah semula ke Brazil dengan menyertai Atletico Mineiro. Sepanjang empat tahun bersama kelab itu, Hyuri banyak menghabiskan masa sebagai pemain pinjaman ke beberapa kelab di Brazil dan Chongqing Lifan di China.
Berikutan prestasi kurang memberangsangkan di Atletico Mineiro, Hyuri berhijrah ke Atletico Goianiense namun masih gagal mengulangi persembahan terbaiknya.
Pada 2020, Hyuri berhijrah ke Clube de Regatas Brasil (CRB) yang bermain di Serie B Brazil. Dia berjaya menemui sentuhannya semula apabila meledak 12 gol dalam 43 penampilan.
Setahun kemudian, dia memutuskan untuk ke UAE, menyertai kelab Hatta namun gagal menyerlah.
Hyuri hanya sempat beraksi 17 perlawanan bersama Hatta sebelum disambar oleh Selangor FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram