Kadang-kadang saya penat — Iqbal Zulkifli


  • Hiburan
  • Khamis, 17 Mac 2022

IQBAL tidak terasa hati dengan apa-apa komen netizen selagi ia tidak melampaui batas. — The Star

"BIARLAH orang menilai saya kerana apa-apa kenyataan bukan dari saya." Itu luahan selebriti dan usahawan Iqbal Zulkifli tentang respons negatif orang ramai atas berita tentang dirinya.

Menurut Iqbal, dia tidak terasa hati dengan apa-apa komen netizen selagi ia tidak melampaui batas yang mana boleh mencemarkan imej dan maruahnya.

"Saya tidaklah terasa hati kerana kebanyakan kenyataan bukan dari saya, orang kata saya macam ini, macam itu tapi saya tetap begini.

"Biarlah orang yang menilai sendiri dan saya akan tetap jadi diri saya sendiri dan terus belajar untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik," katanya kepada Majoriti.

Tambah Iqbal lagi, dia mengakui bahawa kadangkala dirinya penat kerana dikenali dengan kontroversi yang silih berganti.

Jelasnya, dia mahu populariti yang dikecapi atas dasar bakat dan bukan kerana kecaman serta berita-berita negatif.

"Banyak isu yang berkait dengan diri saya, banyak sangat sampai saya tidak dapat nak tangkap sekarang ini.

"Kadang-kadang saya rasa penat, saya ini popular tetapi dengan kecaman bertubi-tubi berjuta orang, tapi adakalanya orang faham situasi sebenar tp saja buat bahan mainan.. penat juga sebenarnya," ujarnya.

Kongsinya lagi, ada ketikanya dia tidak mahu mengulas lebih dan hanya memilih untuk berdiam diri.

Terdahulu, Iqbal dipalit pelbagai kontroversi antaranya penglibatan di Big Stage yang mengundang banyak kecaman yang mengatakan dia tidak layak untuk berada di pentas nyanyian itu.

Iqbal juga sering djadikan bahan gurauan netizen apabila wajahnya disamakan dengan beberapa individu termasuk seorang perompak yang merompak seorang warga emas di Bukit Antrabangsa, Selangor, baru-baru ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram