'Ibarat hina penonton, perbodohkan juri'


ASTRO membawa kejutan apabila memperkenalkan Iqbal sebagai peserta tambahan ke-12 bagi program Big Stage musim keempat. — The Star

KEJUTAN yang cuba dibawakan syarikat siaran televisyen berbayar, Astro, menerusi program realiti, Big Stage musim keempat mengundang amarah penonton yang bersuara di media sosial.

Rata-rata mereka menyifatkan perkara itu seolah menghina penonton dan memperbodohkan juri program berkenaan.

Menerusi program itu, Astro membawa kejutan apabila memperkenalkan usahawan kontroversi, Ahmad Iqbal Zulkefli sebagai peserta tambahan ke-12.

Ahmad Iqbal membawakan lagu Biarlah Bulan Bicara nyanyian asal Broery Marantika.

Bekas kekasih kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida yang juga merupakan Presiden Netizen program itu memperoleh markah terendah dari juri (28.8 peratus) sekali gus menempatkan dirinya di kedudukan tiga terbawah.

Seorang pemilik akaun di Twitter, Akaun Baru Alan (@IniAlalalannn) berkongsi satu ciapan dengan menyatakan bahawa persembahan Ahmad Iqbal tidak selayaknya dinilai oleh juri.

"Siti Nurhaliza sampai keliru tidak tahu macam mana nak bagi markah.

"Persembahan Iqbal tadi tak layak untuk dinilai dan keputusan bawa masuk Iqbal dalam Big Stage seolah memperbodohkan juri, memperlekehkan peserta lain dan menghina penonton," tulisnya.

iqbal bigstage 2

Hantaran itu turut mendapat respon ramai pengguna Twitter yang rata-rata menyokong pendapat Alan.

Pemilik akaun Haris Hashim (@Haris6752) turut menyatakan bahawa 'gimik' berkenaan seperti satu penghinaan.

"Betul sangat, kalau juri dalam kalangan orang biasa-biasa tak tidak mengapa, tetapi mereka adalah figura hebat dalam industri hiburan dan disuruh menjurikan persembahan begitu yang kononnya gimik.

"Pada saya ia satu penghinaan," ujarnya.

iqbal bigstage

Ahmad Iqbal semasa siaran Big Stage turut memberitahu bahawa dia menerima tawaran menyertai program berkenaan selepas dihubungi Astro sejak dua bulan yang lalu.

Katanya, dia juga tidak mahu dilabel 'sombong' kerana menolak pelawaan yang telah beberapa kali ditawarkan oleh Astro.

Sementara itu, pihak Astro ketika dihubungi Majoriti bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang isu berkenaan.

Syarikat itu dalam sidang media Big Stage musim keempat minggu pertama memberitahu, penyertaan Iqbal adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh program itu.

"Iqbal sebenarnya memenuhi kriteria iaitu berusia di bawah 30 tahun dan mempunyai video dengan tontonan melebihi 500,000.

"Untuk pentas Big Stage musim ini kita ada kepelbagaian dari segi kategori peserta dan Iqbal merupakan peserta yang bergantung pada tontonan.

"Oleh itu, pentas ini adalah platform untuk mereka buktikan bakat yang mereka ada," kata Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd. Salleh.

Majoriti kini menunggu maklum balas pihak Iqbal untuk mengulas isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram