Penipuan, pengkhianatan dan skandal seks menyelubungi kematian Tangmo


  • Benua
  • Rabu, 09 Mac 2022

UPACARA peringatan untuk Tangmo akan berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat ini. — Agensi

SIASATAN ke atas kematian pelakon TV Thailand, Tangmo Nida atau Nida Patcharaveerapong yang mayatnya ditemukan terapung dalam Sungai Chao Phraya sudah memasuki minggu kedua.

Polis mengumumkan dalam sidang akhbar pada Selasa bahawa mereka akan menutup kes kematian Tangmo pada Jumaat.

Kemungkinan besar, mereka akan mendakwa pemilik bot Tanupat 'Por' Lerttaweewit dan pemandu, Phaiboon 'Robert' Trikanjananun kerana mengendalikan kapal tidak berlesen dan kecuaian yang membawa kepada kematian.

Polis juga mungkin mendakwa Nitas 'Job' Kiratisoothisathorn kerana memusnahkan dan menyembunyikan bukti, selepas mendapati dia telah membawa pulang sebotol wain yang berada di atas bot.

Menerusi sidang akhbar itu, Ketua Polis Thailand, Suwat Jangyodsuk berkata, kematian aktres tersebut berkemungkinan besar adalah satu kemalangan.

621a2c60cf491

MENURUT polis, kematian aktres tersebut berkemungkinan besar adalah satu kemalangan. — Agensi

Polis juga menyatakan bahawa ada saksi telah berbohong ketika membuat keterangan ketika mereka disoal siasat secara berasingan.

Selepas menemubual setiap lima saksi yang berada di dalam bot laju itu, polis berkata, terdapat keterangan bercanggah, yang tidak sepadan dengan penemuan daripada pasukan forensik. Polis memaklumkan bahawa saksi ketiga itu mungkin akan didakwa.

Pada hari Ahad lalu, polis sekali lagi menyoal pengurus Tangmo, Idsarin 'Gatick' Juthasuksawat selama lebih tujuh jam. Apabila dia meninggalkan balai polis pada pukul 9 malam, dia tidak bercakap dengan wartawan.

Seorang rakan karib Tangmo, Warinthorn Watsang (Anna TVpool) berkata, Tangmo tidak pernah menggunakan dadah selain tidak pernah menerima bayaran untuk melayan individu kenamaan (VVIP), lapor Bangkok Post.

Dakwaan itu timbul selepas terdapat spekulasi kononnya Tangmo 'dijual' oleh Gatick kepada seorang VVIP iaitu Satitpong Sukvimol yang juga merupakan orang kanan tentera Thailand.

Namun disebabkan Tangmo dikatakan enggan melayannya dan khuatir rahsianya terbongkar, maka Tangmo telah 'ditahan' untuk menutup mulut hingga kes tersebut menjadi kes pembunuhan.

Seorang lagi rakan Tangmo, Surattanawee Suviporn telah menuduh Gatick berbohong kepada polis.

Dalam satu temu bual, Surattanawee mendakwa dia memandu ke jeti pada malam Tangmo lemas dan bercakap dengan saksi yang berada di atas bot, tetapi Gatick bertindak pelik dan menyuruhnya pulang.

Dia pernah berpesan kepada Gatick bahawa, "Kebenaran akan membebaskan anda."

Screen-Shot-2565-02-28-at-13.57.15

GATICK (kiri) dikatakan 'menjual' Tangmo kepada seorang VVIP pada malam kejadian. — Agensi

Sementara itu, saksi yang dikenali sebagai Robert (pemandu bot laju) dilaporkan enggan memberikan sampel rambutnya kepada polis untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Minggu lalu, dia seolah-olah mengelak apabila mahu disoal siasat polis dan ketika lakonan semula kemalangan dengan mendakwa mengalami tekanan darah tinggi dan hipertensi.

Robert juga memberitahu polis bahawa baru-baru ini dia menjalani proses transplan rambut. Ini selepas netizen Thailand mempersoalkan identitinya sama ada dia adalah lelaki sama di atas bot yang ditunjukkan dalam rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

Seorang peguam selebriti berprofil tinggi, Sittha Beerbangkerd berkata, dia mahu mengambil bahagian dalam kes itu dan telah menawarkan diri bagi membantu abang tiri Tangmo, Dayot 'Toi' Detjob dalam membongkar punca sebenar kematian aktres berkenaan.

Toi adalah orang yang menemui mayat Tangmo di Sungai Chao Phraya pada hari Sabtu, dua hari selepas dia lemas.

Peguam ibu Tangmo, Panida Sirayootyotin pula berkata, dia mahu Bekas Ketua Pusat Institut Sains Forensik melakukan autopsi baharu ke atas mayat anak perempuannya kerana meragui keputusan pertama.

Panida sebelum itu bersetuju menerima pampasan berjumlah 30 juta baht (kira-kira RM3.8 juta) dan memaafkan Por serta Robert yang ada kaitan dengan kematian Tangmo.

Panida dan Toi telah memfailkan aduan kepada polis Nonthaburi untuk meminta siasatan lanjut dibuat berhubung kejadian itu, kerana mereka tidak percaya kematiannya disebabkan oleh kemalangan.

Tangmo-Mother

PANIDA (kanan) bersetuju menerima pampasan berjumlah 30 juta baht dan memaafkan dua individu yang ada kaitan dengan kematian Tangmo. — Agensi

Dalam pada itu, Santhana Prayoonrat, bekas leftenan kolonel polis juga telah tampil sebagai saksi lain dalam kes Tangmo. Santhana bersedia untuk memberi keterangan kepada polis pada hari Selasa mengenai apa yang diketahuinya.

Buat masa ini, polis telah menyoal sekurang-kurangnya 71 saksi dalam siasatan berterusan mereka terhadap kematian Tangmo, menurut Nation Thailand.

Tangmo lemas di Sungai Chao Phraya pada malam 24 Februari. Setakat ini, polis tidak dapat menentukan sama ada Tangmo secara tidak sengaja terjatuh ke dalam sungai, sama ada dia melompat untuk melarikan diri, atau ditolak atau mungkin juga tercampak ke laut.

Terdapat juga ketidakpastian mengenai punca luka besar pada paha dan calar lain pada kakinya, walaupun teori baharu mengatakan kipas bot itu menghiris bahagian berkenaan. Begitupun, luka koyakan itu dikatakan terlalu kemas untuk potongan bilah kipas.

Polis juga terus menganggap kesemua lima orang di dalam bot itu sebagai saksi dan bukannya suspek.

Dalam perkembangan sama, netizen terus membongkar lebih banyak penemuan antara lain rakaman CCTV menunjukkan apa yang kelihatan seperti Tangmo melompat dari bot ketika ia melepasi Jeti Thewet.

Satu lagi video kelihatan seolah-olah tangan Tangmo cuba mencapai pelampung putih yang berada di sisi bot sebelum ia ditarik oleh seorang lelaki (kelihatan seperti Robert) dari atas bot terbabit.

Lebih banyak CCTV yang bocor dalam talian menunjukkan lima sekawan itu bertemu selepas kejadian pada pukul 2 pagi di stesen minyak kira-kira 5 kilometer dari kelab bot NBC di Jalan Rama V.

Dalam video itu, mereka dilihat berbual dengan orang keenam yang tidak berada di atas bot. Tidak diketahui siapa orang itu atau apa yang dikatakan dalam kalangan mereka. Tiada rakaman audio.

Pada hari Ahad, penyelam dari bahagian polis marin membuat siasatan semula di tempat Tangmo jatuh. Mereka dilaporkan menemui dua objek berhampiran jeti Phibul Songkhram dan menyerahkannya kepada pasukan forensik.

Polis bagaimanapun tidak mendedahkan apakah objek itu dan adakah ia berkaitan dengan kes Tangmo.

Difahamkan, penyelam tersebut mencari gelas wain yang dibuang oleh salah seorang lelaki dipercayai Job selepas Tangmo jatuh dari bot.

Upacara peringatan untuk Tangmo itu akan berlangsung pada hujung minggu iaitu dari 11 hingga 13 Mac, bermula 6.30 petang hingga 8.30 malam di Liberty Church Bangkok di daerah Saphan Sung, Bangkok. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram