"MUNGKIN betul mata kami sama, atau mungkin dia selalu membaca cerita saya yang ditulis pihak media."
Demikian reaksi selebriti, Iqbal Zulkifli terhadap ciapan di Twitter yang menyatakan mata usahawan itu sama seperti seorang perompak yang menyamun ibunya di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor pada Selasa.
Katanya, dia sudah biasa mendengar dirinya disamakan dengan orang lain dan bukan sahaja perompak, tetapi ada juga anak menteri, suami orang dan anak raja.
"Saya tak tahu nak kata apa, inilah yang sering berlaku. Sudah ramai orang yang disamakan dengan saya dan kali ini dengan perompak pula.
"Bagi saya tidak perlu untuk saya lakukan perkara haram (merompak), malah saya sendiri beri emas kepada pengikut di media sosial. Saya sendiri juga sudah lama tidak menunggang motosikal dan hari ini (Rabu) hanya berehat di rumah," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, dia turut berdukacita dengan apa yang berlaku berharap agar segala urusan mangsa dipermudahkan.
Terdahulu satu ciapan berantai (thread) di Twitter oleh @salsayamm menulis bahawa ibunya yang menjadi mangsa rompakan di rumahnya di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor, selain menyatakan bahawa mata perompak tersebut mirip mata Iqbal.
Iqbal juga memberitahu, dia tidak kisah jika namanya dikaitkan dengan mana-mana pihak, tambahan pula dia tidak boleh menolak hakikat bahawa kini dirinya merupakan hak masyarakat selepas bergelar selebriti.
"Saya tidak kisah jika nama saya digunakan sebagai kandungan (content) orang lain selagi ia tidak melampaui batas hingga mencemarkan nama saya.
"Namun, sebolehnya saya tidak mahu sekadar popular hanya kerana gosip sedemikian tetapi sebaliknya dikenali dengan bakat dan imej yang baik," ujarnya yang bakal muncul dengan single baharu, Undur Diri tidak lama lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram