MENGHADAM kritikan pedas Ajai di pentas Big Stage bukanlah semudah yang disangka buat usahawan, Iqbal Zulkefli meskipun pada hakikatnya dia mengatakan tidak terasa hati.
Iqbal memberitahu, air matanya mengalir sebaik sahaja dia pulang dan bersendirian mengenang kembali kata-kata Ajai selepas persembahannya.
"Saya pun tidak sedar yang sebenarnya saya ada perasaan sedih kerana saya mengajar diri saya untuk menerima kritikan itu dengan hati yang terbuka.
"Secara jujur saya menerima kritikan Ajai dengan hati yang terbuka dan saya sendiri akui bahawa saya bukanlah seorang penyanyi yang baik," katanya kepada Majoriti.
Kongsi penyanyi lagu Hujan itu lagi, dia juga merasa sedikit kecewa kerana tersingkir dari pertandingan Big Stage walaupun semasa penyingkiran dia nampak gembira selepas namanya diumumkan.
Katanya, dia gembira kerana rakan lain (Megat Rahim dan Lia Aziz) masih dapat meneruskan perjuangan di pentas Big Stage.
"Saya ada rasa kecewa kerana tersingkir kerana ini baru minggu kedua dan saya baru nak 'panaskan enjin', tetapi apakan daya bukan rezeki saya.
"Bagaimanapun, saya gembira kerana Megat dan Lia dapat teruskan perjuangan kerana ini minat dan impian mereka," ujarnya.
Tambahnya lagi, meskipun menerima kritikan pedas dan tersingkir di Big Stage, dia tidak akan berputus asa untuk bernyanyi dan akan tetap menghasilkan single pada masa akan datang.
Katanya, meskipun mendapat kritikan bahawa dia 'tidak berbakat dalam nyanyian dan semuanya bukan boleh dibeli dengan wang', dia akan terus berkarya dan memperbaiki diri walaupun ia akan memakan masa yang lama.
"Dalam posisi yang lain saya tidak akan putus asa dan saya akan teruskan dalam bidang seni, sama ada saya mahu buat empat atau lima lagu saya akan tetap buat.
"Saya tidak boleh fikirkan apa yang berlaku, saya tetap akan teruskan kerana maruah diri saya adalah untuk mempertahankan semangat saya," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram