Tabiat 'patahkan' leher boleh beri kesan serius


  • Sihat
  • Isnin, 14 Mac 2022

TABIAT 'mematahkan' tulang terutama di bahagian leher menjadi kebiasaan bagi sesetengah orang bahkan merupakan cara bagi mereka melegakan tubuh mereka. — Gambar hiasan/Agensi

PERBUATAN 'mematahkan' atau 'meletupkan' tulang terutama di bahagian leher menjadi kebiasaan bagi sesetengah orang bahkan merupakan cara bagi mereka melegakan tubuh mereka.

Namun, kelegaan sementara yang dirasakan itu sebenarnya boleh membawa kepada kesan jangka panjang yang serius, malah terdapat kes yang mana ia menyebabkan serangan strok berlaku.

Bunyi seakan-akan tulang patah yang kedengaran apabila anda melakukan perkara ini adalah disebabkan regangan kecil yang memisahkan sementara permukaan sendi dan menyebabkan pembentukan gelembung udara.

Bagaimanapun, dengan melakukan ini, anda berisiko mengalami koyakan kecil pada lapisan dalam arteri, yang membawa kepada pembentukan gumpalan darah beku.

Ada kemungkinan gumpalan tersebut akan larut dengan sendirinya. Tetapi dalam beberapa kes, ia boleh bergerak ke kawasan lain dan menyebabkan halangan dalam arteri. Seterusnya, ini boleh menyebabkan strok iskemik, yang terjadi akibat bekalan darah ke otak terputus.

Dua arteri utama manusia di bahagian leher (arteri vertebra) bergabung dan membentuk arteri basilar yang membekalkan bahagian belakang otak dengan darah. Apabila kita membengkokkan atau memutar leher kita, arteri ini meregang dan terdedah kepada kecederaan.

Tabiat tersebut boleh melemahkan ligamen yang 'memegang' sendi di bahagian vertebra, membolehkan leher bergerak dengan lebih meluas, seterusnya menyebabkan arteri lebih terdedah kepada kecederaan.

Tetapi ini tidak bermakna bahawa punca biasa strok adalah disebabkan oleh tabiat 'mematahkan' tulang di leher.

Perlu diingatkan bahawa pakar kiropraktik kerap 'mematahkan' leher pesakit mereka ketika melakukan rawatan, dan terdapat satu dalam 20,000 hingga 1 dalam 250,000 peluang pesakit mengalami koyakan arteri selepas rawatan ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

leher, tulang, kiropraktik, strok, kesihatan, sendi, arteri