Degupan jantung tidak sekata undang bahaya


  • Sihat
  • Khamis, 10 Mac 2022

PEMERIKSAAN ECG secara 24 jam harus dilakukan untuk membezakan jenis aritmia yang dihidapi pesakit. — Gambar hiasan

PERNAH perasan degupan jantung kita ada kalanya berdegup laju dan ada kalanya berdegup perlahan secara tidak sekata?

Ia berbeza dengan keadaan apabila bersenam, degupan jantung laju kemudiannya menjadi perlahan ketika kita berehat.

Doktor perubatan, Dr Zubaidi Ahmad berkata, degupan jantung yang tidak sekata menyebabkan seseorang itu rasa tidak selesa pada dada, rasa sukar bernafas dan menjadi resah.

Menurut beliau, individu yang mengalami situasi itu mungkin mengalami fibrilasi atrium (Afib) atau (AF) iaitu sejenis penyakit berpunca daripada degupan jantung tidak teratur (aritmia).

"Tidak ramai penduduk Malaysia yang mengalami masalah ini. Walaupun selalunya dialami oleh pesakit berumur 60 tahun, namun pola kesihatan sekarang menunjukkan ramai pesakit yang berusia 40-an mengalaminya.

"Keadaan ini sangat berbahaya jika pesakit tidak mendapat rawatan yang sempurna. Ia boleh menyebabkan serangan strok dan jantung," katanya menerusi catatan di Facebook.

Katanya lagi, pemeriksaan elektrokardiogram (ECG) secara 24 jam harus dilakukan untuk membezakan dengan jenis aritmia yang lain seperti atrial flutter, atrial tachycardia, supraventricular tachycardia dan ventricular tachycardia.

"Namun begitu, ia sekarang dapat dikesan menggunakan alat pengesan yang dihubungkan kepada telefon bimbit.

"Jika dahulu pesakit diberikan pencair darah, tetapi sekarang teknik mematikan sel di bahagian tertentu dalam jantung semakin popular. Teknik ini dinamakan ablation.

"Kaedah ini lebih selamat, cepat dan berkesan. Ia mengambil masa dua jam dan ditempatkan selama dua hari di hospital untuk pemantauan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram