Jom 'move on' selepas keguguran dengan buat 4 senaman ini


  • Sihat
  • Jumaat, 04 Mac 2022

SENAMAN selepas wanita mengalami keguguran kehamilan sangat digalakkan untuk memulihkan tubuh badan.

GOLONGAN wanita yang mengalami keguguran pasti mengalami fasa perasaan sedih dan kecewa namun mereka tidak selamanya boleh bersedih atas kejadian itu.

Oleh itu, bagi memberi badan kembali bertenaga, senaman selepas keguguran antara akiviti fizikal pasca trauma yang mungkin mampu buat tubuh badan seorang wanita itu sihat seperti sediakala.

Merujuk portal Hello Doktor, meskipun ia tidak dianggap sebagai satu perkara yang wajib, namun senaman selepas wanita mengalami keguguran kehamilan sangat digalakkan untuk memulihkan tubuh badan.

Durasi senaman yang diperlukan bagi seorang wanita adalah bergantung kepada punca, komplikasi, implikasi serta trimester kehamilan di mana anda mengalami keguguran.

Menurut American Pregnancy Association, seorang wanita mungkin tidak perlu masa yang lama untuk kembali aktif jika gugur janin pada trimester awal yakni pertama.

Namun untuk lebih kepastian, sila berjumpa dan berbincang dengan doktor untuk berbincang tentangnya.

Menurut Pelvic Obstetric and Gynaecological Physiotherapy, berikut ini jenis senaman sesuai:

1) Jalan kaki

  • Aktiviti santai seperti jalan kaki ini adalah sangat ideal buat wanita pasca keguguran kehamilan kerana tidak memerlukan terlalu banyak tenaga dan masa.
  • Tidak perlu di trek, berjalan kaki uga boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja seperti di dalam rumah, di luar rumah, di pusat beli-belah serta lain-lain tempat.
  • Mulakan langkah dengan cermat dan perlahan, lama-kelamaan tingkatkan tahap intensiti agar lebih pantas dan laju untuk merelakskan kembali jiwa dan raga.

2) Aktiviti yoga

  • Jika belum boleh bergerak bebas, yoga merupakan satu jenis senaman selepas keguguran yang mungkin boleh dilakukan hanya di atas satu titik tanpa perlu pergerakan lebih banyak.
  • Selain mampu membuat tubuh badan lebih segar, yoga juga mampu membuat akal minda lebih tenang sekali gus merupakan pilihan senaman yang sesuai buat ibu yang baru keguguran.
  • Apa yang sangat menarik di dalam senaman yoga adalah ia memerlukan individu itu untuk melakukan teknik pernafasan paling tepat dan akan membantu proses pemulihan.

3) Senaman pinggang bawah

  • Sangat penting untuk wanita keguguran menguatkan kembali otot pinggang pasca gugur janin.
  • Berbaring menelentang dengan kepala bersandar pada bantal, kedua kaki membengkok dan kedua tangan melurus di samping badan.
  • Berikan tekanan pada otot pinggang dengan cara mengangkatnya ialah sedikit ke atas tetapi posisi punggung anda tetap menyentuh lantai.
  • Tahan posisi tersebut sekurang-kurangnya tiga saat sambil bernafas dengan biasa.
  • Perlahan kembalikan otot pinggang ke bawah dan jatuhkan semula ke lantai dan ulangi pergerakan itu sebanyak 10 kali dalam masa tiga sesi sehari.

4) Senaman perut bawah

  • Wanita selepas mengalami keguguran boleh berbaring menelentang dengan atau mengiring dengan lutut membengkok, atau duduk bersila mahupun berdiri, mengikut keselesaan.
  • Letakkan salah satu tangan atau kedua-duanya di atas perut tepat di kawasan pusat.
  • Berikan tekanan pada perut dengan tangan di saat menarik dan menghela nafas.
  • Lakukannya secara berulang kali sehingga otot perut mula berasa relaks.
  • Perlahan tingkatkan tekanan yang diberi pada perut lebih kuat dan lebih lama, misalnya tiga detik ke 10 detik sesuai dengan pernafasan.

Dengan senaman selepas keguguran, seorang wanita akan lebih cepat sihat seperti sediakala semula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram