'Kenduri rancak, pilihan raya rancak... tapi nak solat Jumaat kena booster?'


MENURUT ketetapan terkini yang dikeluarkan JAIS, hanya individu yang sudah mendapatkan suntikan dos penggalak dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid serta surau di negeri Selangor. — Bernama

SEJAK beberapa hari lalu, tular isu berkenaan pengambilan dos penggalak yang dijadikan syarat wajib bagi menunaikan solat Jumaat di negeri Selangor.

Ia susulan ketetapan terkini yang diedarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada pengurusan masjid, surau dan musolla negeri itu.

Perkara itu ternyata mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dengan ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati dan menyifatkan ketetapan di Selangor itu semakin menyusahkan rakyat untuk beribadat.

Seorang pengguna Facebook, Muhamad Na'im Ab Razak menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad supaya masuk campur dalam isu berkenaan dengan mengadakan perbicangan dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, beliau faham akan keresahan para penganut agama Islam dan polisi yang besar seperti ini harus ditentukan oleh pihak pemerintah.

"Ada baiknya Menteri Agama mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan solusi terbaik untuk umat Islam.

"Polisi besar sebegini harus ditentukan oleh pihak pemerintah dan kita sebagai penduduk harus taat kepada mereka. Jika keputusan tetap tidak berpihak pada rakyat, setidak-tidaknya kita telah berlepas dari dosa," katanya pada Isnin.

Menurutnya, dengan negara sudah mencapai tahap imuniti yang tinggi dan majlis-majlis sosial seperti kenduri-kendara sudah rancak dijalankan ketika ini, keresahan yang dirasa umat Islam ada dasarnya.

"Kempen pilihan raya galak berlangsung dan majlis-majlis hiburan pun dah berlangsung silih-berganti. Kalau pergi pub sekarang ni, tiada pun penjarakan sosial dan bilik pun bertutup.

"Dalam situasi sekarang dan dengan status strain omicron yang cepat merebak, jangkitan hingga berpuluh ribu kes sehari akan tetap berlaku samada penduduk solat di masjid secara rapat-rapat atau berjarak satu meter dan samada diberi suntikan penggalak vaksin atau tidak.

"Sekalipun kita lakukan booster 100 peratus penduduk sekarang pun, peluang untuk penduduk dijangkiti tetap tinggi," katanya.

Terdahulu pada Ahad, Idris menghormati keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan hanya jemaah lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan dos penggalak dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid serta surau di negeri itu.

Beliau berkata, keputusan itu ditentukan Majlis Agama Islam Negeri dan bukan diarah oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada Isnin, kerajaan Selangor menegaskan bahawa ketetapan membenarkan hanya individu yang telah mengambil dos penggalak Covid-19 mendirikan solat fardu Jumaat adalah berdasarkan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Jawatankuasa negeri Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, perkenan Sultan Selangor itu melalui surat arahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertarikh 21 Februari lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram