Ronaldo disisih, balik Portugal sebelum perlawanan


  • Podium
  • Isnin, 07 Mac 2022

RONALDO tidak berada dalam negara ketika perlawanan berlangsung kerana dikatakan telah pulang kembali ke Portugal. — Agensi

PENYERANG Manchester United, Cristiano Ronaldo pulang ke Portugal selepas dia disahkan tidak tersenarai dalam skuad menentang Manchester City.

Pemain veteran itu seolah-olah 'disisihkan' daripada skuad kendalian Ralf Rangnick selepas dia mengadu mengalami kecederaan pinggul berulang yang menyaksikannya terlepas dua perlawanan pada Januari.

Dalam perlawanan awal pagi Isnin, Manchester City mudah membenam Manchester United dengan keputusan 4-1.

Dua gol masing-masing dijaringkan Kevin De Bruyne dan Riyad Mahrez memberikan kemenangan selesa kepada Manchester City, walaupun Manchester United telah menyamakan kedudukan pada separuh masa pertama menerusi jaringan Jadon Sancho.

Ketiadaan Ronaldo dalam senarai kesebelasan utama mula diperkatakan selepas Rangnick mengesahkan kecederaan dialami pemain berusia 37 tahun tersebut, sekali gus terlepas aksi penting itu.

Menurut The Athletic, Ronaldo tidak berada di Britain ketika perlawanan berlangsung kerana dikatakan telah pulang kembali ke negara asalnya, Portugal, selepas dia mengetahui tidak akan bermain menentang Man City.

Laporan itu mendakwa beberapa pemain Manchester United lain terkejut dengan perjalanan saat-saat akhir di kala skuad itu berdepan perlawanan yang begitu penting. Kehadirannya walaupun semata-mata bagi menyokong The Red Devils mungkin akan memberi perbezaan.

Bercakap selepas perlawanan, Rangnick berkata, "Saya perlu percaya pasukan perubatan kami. Doktor menemui saya pada pagi Jumaat untuk memberitahu Cristiano tidak dapat berlatih kerana beberapa masalah dengan fleksor pinggul dan perkara sama berlaku pada hari Sabtu."

Dengan ketiadaan Ronaldo dan rakan penyerang veteran Edinson Cavani, Rangnick memilih untuk menggunakan formasi 4-2-4 dengan Paul Pogba dan Bruno Fernandes pula mengetuai serangan.

Jurulatih dari Jerman itu mendedahkan bahawa Manchester United bersedia untuk bermain dengan formasi sedemikian sekali gus mencadangkan bahawa Ronaldo mungkin tidak bermain walaupun dia cergas.

"Kami putuskan dengan formasi ini dan pada masa sama dalam fasa peralihan untuk mencipta beberapa peluang. Itulah sebabnya kami memulakan cara ini,' ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram