Awas! Hati boleh rosak jika terlebih dos Paracetamol


  • Sihat
  • Jumaat, 25 Feb 2022

TERDAPAT antidot untuk mengurangkan risiko komplikasi sekiranya berlaku keracunan Paracetamol. — Gambar hiasan

PARACETAMOL yang digunakan secara meluas sebagai ubat demam dan ubat tahan sakit boleh merosakkan hati jika ia diambil melebihi dos yang disarankan.

Pakar kesihatan, Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, ubat itu adalah selamat jika diambil pada dos yang disarankan.

Beliau berkata, Paracetamol atau nama penuhnya para-acetylaminophenol adalah ubat yang telah dicipta untuk meredakan demam dan kesakitan.

"Ia agak inferior dari segi keberkesanan kepada ubat deman dan sakit jenis NSAID seperti aspirin, Ibuprofen, Voltaren dan sebagainya kerana ia kurang meredakan keradangan, Paracetamol lebih superior dari segi keselamatan.

"Berbanding NSAID, Paracetamol tidak menyebabkan risiko pendarahan atau keradangan salur penghadaman.

"Jadi, Paracetamol lebih selamat digunakan untuk pesakit yang mempunyai masalah pembekuan darah, atau pesakit yang ada gastritis. Malah, ia juga selamat untuk kanak-kanak dan ibu hamil atau menyusu," kongsinya pada hantaran di laman Facebook.

Tambahnya, Paracetamol adalah ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi dan oleh sebab itu ia dijual di kedai runcit dan restoran selain di farmasi.

Beliau berkata, dos Paracetamol yang selamat bagi orang dewasa adalah 4,000 miligram sehari.

Katanya, satu tablet Paracetamol biasanya mengandungi 500 miligram bahan aktif, dan orang ramai boleh makan maksimum lapan biji Paracetamol sehari.

"Tapi janganlah makan lapan biji sekali gus. Makanlah dua biji, empat kali sehari.

"Dos kanak-kanak dikira mengikut berat badan kanak-kanak, iaitu 15 miligram per kilogram. Jadi, jika berat kanak-kanak itu 10 kilogram, maka dos yang sesuai adalah 15 milogram per kilogram x 10 kilogram bersamaan 150 miligram untuk satu kali makan. Maksimum boleh makan empat kali kali (sela masa 6 jam)," katanya.

Jelasnya, selain dalam bentuk pil dan sirap yang diambil melalui mulut, Paracetamol juga wujud dalam bentuk suppositori (ubat peluru) untuk dimasukkan ke dalam dubur serta dalam bentuk cecair intravena yang masuk melalui salur darah.

"Suppositori adalah 30 miligram per kilogram kali empat kali sehari.

"Kalau makan lebih daripada dos yang ditetapkan ini, maka ada risiko kerosakan hati.

"Ini kerana Paracetamol diuraikan di hati. Oleh sebab yang sama, individu yang mempunyai masalah atau penyakit hati, perlu ambil dos yang lebih sedikit daripada yang disyorkan di atas tadi," katanya.

Jelasnya, dos toksik Paracetamol adalah pengambilan lebih 10 gram atau 20 biji sehari.

Katanya, sekiranya berlaku keracunan Paracetamol sama ada akibat terlebih dos sama ada secara sengaja atau tidak, terdapat antidot untuk mengurangkan risiko komplikasi keracunan.

"Antidot untuk keracunan Paracetamol adalah N-acetylcystein(NAC). Selain itu, pesakit akan dipantau oleh doktor untuk beberapa hari.

"Diakui juga paracetamol mempunyai kesan sampingan lain seperti alahan, loya dan sebagainya, tetapi ia jarang berlaku. Penghidap G6PD perlu dapatkan nasihat doktor sebelum ambil Paracetamol.

"Kalau demam, atau sakit kepala, lenguh-lenguh badan, period pain, boleh cuba makan Paracetamol dahulu. Demam tinggi tak terkawal lagi bahaya. Boleh sawan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram