Lima punca rambut golongan lelaki gugur


  • Sihat
  • Isnin, 14 Feb 2022

MASALAH rambut gugur pada lelaki kadang-kala lebih kritikal berbanding kaum wanita. — Gambar hiasan/Facebook

MASALAH rambut gugur bukan sahaja berlaku kepada golongan wanita dan warga emas tetapi juga kepada kaum lelaki.

Perkara itu sekali gus membuatkan anda tidak berkeyakinan di khalayak ramai.

Menurut pakar kesihatan, masalah keguguran rambut boleh menjejaskan hanya kulit kepala atau seluruh tubuh dan ia bersifat sementara atau kekal.

Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tetapi lebih kerap dialami oleh golongan lelaki.

Berikut Majoriti kongsikan beberapa punca berlakunya masalah keguguran rambut.

Genetik

Pola kebotakan lelaki (androgenetic alopecia) dicetuskan oleh genetik ibu bapa anda. Sekiranya anda mempunyai saudara terdekat yang botak, anda juga berkemungkinan akan berdepan masalah rambut gugur.

Penipisan rambut ini biasanya bermula pada bahagian pelipis dan atas kepala.

Bergantung kepada sejarah keluarga, pola kebotakan ini boleh bermula sejak usia remaja. Bukan sahaja ia menipis, tetapi mungkin menjadi lembut, halus dan lebih pendek.

Isu kesihatan

Keguguran rambut sementara boleh menjadi tanda masalah perubatan seperti anemia atau masalah tiroid. Diet rendah protein dan zat besi juga boleh menyebabkan rambut menipis.

Risiko keguguran rambut adalah lebih tinggi jika anda menghidap diabetes atau lupus.

Rambut yang gugur boleh berpunca daripada kesan sampingan ubatan tertentu untuk masalah seperti kanser, sakit sendi, kemurungan, gout, tekanan darah tinggi dan masalah jantung.

Selain itu, rawatan radiasi atau kemoterapi turut boleh mengakibatkan rambut gugur namun biasanya ia akan tumbuh kembali sebaik sahaja rawatan selesai.

Tekanan atau kejutan

Penurunan berat badan secara mendadak atau berlebihan, kejutan emosi dan fizikal, pembedahan serta demam boleh mencetuskan keguguran rambut untuk tempoh beberapa bulan.

Jangkitan

Masalah kurap boleh mengakibatkan tompok bersisik pada kulit kepala dan tompokan botak. Rambut biasanya akan tumbuh semula selepas rawatan.

Dandanan

Mendandan rambut seperti mengikat atau menocangnya boleh mengakibatkan keguguran rambut sementara yang dipanggil alopecia cengkaman.

Rawatan minyak panas dan perm juga boleh merosakkan folikel rambut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram