Tangan remaja bengkak lepas 'booster' makin pulih


  • Tular
  • Sabtu, 12 Feb 2022

TANGKAP layar luahan perasaan Rosli yang risau dengan keadaan anaknya selepas mendapat suntikan dos penggalak kini tular di media sosial.

PESAKIT yang dilaporkan mengalami bengkak pada bahagian tangannya selepas menerima dos penggalak pada 8 Februari lalu dilaporkan sudah semakin pulih.

Pengarah Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB), Dr Mokhtar Pungut @ Ahmad dalam satu kenyataan berkata, pesakit tersebut, Mohamad Firdaus Rosli, 18, sebelum itu hadir di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSAJB pada 8 Februari pada jam 10.11 malam dengan sakit badan dan bengkak di tangan.

Katanya, pesakit berada dalam keadaan stabil semasa menerima rawatan.

"Pesakit telah dibenarkan pulang pada kira-kira jam 11 malam dan telah menerima rawatan sewajarnya di Jabatan Kecemasan, HSAJB.

"Berdasarkan semakan bersama keluarga pesakit pada 11 Februari jam 3.25 petang, keadaan pesakit bertambah baik dan bengkak di tangan telah susut," katanya.

Sebelum ini tular seorang pengguna TikTok @Bengkelsetiasepakat menyiarkan video luahan bapa Firdaus yang dikenali sebagai Rosli yang risau serta tidak berpuas hati dengan keadaan kesihatan anaknya itu setelah pulang daripada menerima suntikan penggalak.

Rosli mengaku bekerja sebagai pemandu teksi turut menasihati ibu bapa untuk tidak membawa anak-anak mereka yang masih bersekolah untuk tidak mengambil suntikan vaksin.

"Kalau dah berlaku macam ni batalkan dulu sebab benda ni tak dijamin oleh kerajaan, risiko ditanggung sendiri tu masalahnya, sekarang tangan anak saya dah bengkak, memang dia ada dekat hospital, saya tak puas hati benda ni berlaku.

"Saya minta ibu bapa dan anak-anak jangan galakkan untuk vaksin anak-anak sekolah.. sekarang benda dah berlaku, kita yang menanggung," dakwanya.

Rosli mendakwa, isu ini berkaitan nyawa, dan dia khuatir vaksin ini mampu menyebabkan seorang kanak-kanak yang selama ini sihat menjadi sakit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram