Ketahui tip pemakanan bantu atasi sindrom Long Covid


  • Sihat
  • Khamis, 24 Feb 2022

MINYAK zaitun antara lain memiliki sebatian fenolik dan terpene yang membantu menyokong fungsi sistem imuniti tubuh. — Gambar hiasan

MASYARAKAT sudah sedia maklum mengenai jangkitan virus Covid-19 tetapi masih ramai belum mengetahui simptom Post-Covid atau lebih dikenali sebagai Long Covid.

Apa itu Long Covid? Long Covid adalah keadaan apabila pesakit Covid-19 yang sudah sembuh namun masih menanggung komplikasi Covid-19 yang berpanjangan.

Pengamal perubatan am, Dr Zubaidi Ahmad berkata, antara gejala kebiasaan pesakit Long Covid termasuklah sesak nafas, disfungsi kognitif (brain fog), dan sakit sendi serta otot secara berterusan.

Terdapat beberapa petua pemulihan Long Covid yang dikongsi oleh British Heart Foundation antaranya:

  • Rehat pendek yang kerap apabila membuat aktiviti berat, berehat sebelum menjadi letih atau sesak nafas.
  • Buat nota untuk membantu anda mengingati aktiviti dan tugas harian jika mengalami brain fog.
  • Senaman ringan seperti regangan, naik tangga dan senaman kardiovaskular jika berasa sakit sendi dan otot.

Zubaidi berkata, namun hakikatnya, tubuh sangat memerlukan nutrisi dan khasiat sumber semula jadi seperti buah, sayur dan makanan tinggi khasiat seperti minyak zaitun, minyak habbatus sauda dan madu untuk memberikan tenaga dan mengekalkan kecerdasan harian.

Satu kajian melibatkan 143 pesakit Covid-19 mendapati 87 peratus masih menghadapi masalah kesihatan selepas 60 hari bebas Covid-19.

Antara simptom yang dialami pesakit adalah kelesuan (53 peratus), sesak nafas (43 peratus), sakit sendi (27 peratus) dan sakit dada (22 peratus). Hanya 18 orang atau 12.6 peratus mengatakan mereka telah pulih sepenuhnya.

Sehubungan itu, Zubaidi berkata, adalah amat penting untuk mengambil makanan yang sarat dengan nutrien penting secara harian.

"Menu Mediterranean yang terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, makanan yang ditapai, kekacang dan minyak berasaskan tumbuhan seperti minyak zaitun mengandungi khasiat dan kebaikan semula jadi.

"Khasiat itu termasuklah sebatian fenolik dan terpene, lemak sihat daripada asid oleik, asid linolenik, vitamin larut lemak (D dan E) serta pro-vitamin A.

"Nutrien sebegini bantu menyokong fungsi sistem imuniti di samping juga memiliki manfaat kesihatan kepada organ dalam tubuh badan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram