'Saya teringin tapi takut kalau tidak menjadi'


  • Hiburan
  • Khamis, 17 Feb 2022

KHAI mengakui sibuk mempromosikan single terbaharunya yang berjudul Damba.

SETELAH kira-kira enam tahun menjadi anak seni, penyanyi Khai Bahar menyatakan hasrat untuk berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sekali gus memiliki kedai sendiri jika diberikan peluang dan rezeki pada masa depan.

Bagaimanapun, Khai atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Baharuddin mengakui dia masih berasa takut untuk menceburi dunia bisnes buat masa ini ekoran keadaan negara yang masih bergelut dengan wabak Covid-19.

"Saya memang ada cita-cita nak ada bisnes sendiri. Bisnes apa-apa pun okay tapi lebih seronok kalau ada kedai atau premis fizikal, baru feel berbanding berniaga secara dalam talian.

"Tapi takut nak ambil risiko sekarang ni sebab kes Covid-19 masih banyak, jadi khuatir jika tidak menjadi, perniagaan itu akhirnya ditutup," katanya kepada Majoriti.

Khai ditemui selepas acara JOOX Top Music Awards Malaysia (Akhir Tahun 2021) yang menyaksikan dia muncul sebagai sensasi pop negara setelah dinobatkan sebagai Top 5 Artis Lokal untuk dua tahun berturut-turut.

Penyanyi yang bakal menginjak usia 28 tahun pada 28 Februari itu turut menggondol anugerah Top 5 Hit Lokal menerusi lagu Sengsara daripada runut bunyi filem Dendam Penunggu.

Mengulas mengenai kejayaannya itu, Khai berkata, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang mengundi dan tidak jemu memberi sokongan kuat kepadanya.

"Terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa beri sokongan terhadap karier seni saya. Tahniah juga kepada pemenang yang lain kerana mereka turut memberi saingan sengit.

"Penghargaan saya juga kepada JOOX kerana beri peluang ini kepada kami semua," katanya.

Berkongsi perkembangan terkini, Khai berkata, dia kini giat mempromosikan single baharu berjudul Damba yang menjadi antara runut bunyi drama Shakira lakonannya yang ditayangkan di TV3.

"Insya-ALLAH saya juga dalam perancangan untuk keluarkan album terbaharu tetapi belum pasti lagi bila. Rakaman beberapa lagu sudah berjalan dan saya harap peminat beri sokongan kepada album ini nanti.

"Cuma, sebagai penyanyi dan komposer, memang kita perlu sentiasa kreatif supaya terus diterima peminat," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keadaan sembilan ahli keluarganya yang positif Covid-19 baru-baru ini, Khai berkata, dia bersyukur kerana semuanya baik-baik sahaja.

"Alhamdulillah tiada perkara yang serius berlaku dan mereka pun semakin baik," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram