
PENAMPILAN berhijab bagi pelakon, Fasha Sandha bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah acap kali ditampilkan di media sosial.
Malah, beberapa tahun yang lalu Fasha mengenakan tudung di sepanjang bulan Ramadan sehingga peminat tertanya-tanya mengenai status wanita itu, bertudung atau tidak.
Sebelum ini pelakon filem Nana Tanjung itu memberitahu yang dia tidak pernah mengumumkan dirinya sudah berhijab sepenuhnya tetapi baru-baru ini, isteri kepada pelakon, Aidil Aziz itu mengakui dirinya tersangat ingin untuk bertudung.
"Sebenarnya memang dah lama saya teringin nak bertudung dan tampil dengan imej bertudung sepenuhnya.
"Nak berhijrah memang mudah tapi nak kekal istiqamah itu bukan sesuatu yang mudah. Perkara itu sangat ditakui jika berlaku kepada diri saya.
"Setiap orang ada keinginan untuk berhijrah (bertudung) dan pada saya, biarlah perkara itu datang dari hati.
"Lagipun banyak lagi kelemahan diri yang perlu saya baiki," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Fasha berkata, suaminya sentiasa memberi sokongan ke arah kebaikan dirinya dan dia juga turut menghargai sokongan sama dari peminat.
Jelasnya, dia sedar ramai peminat yang mendoakan penghijrahan dirinya dan ibu kepada tiga orang anak itu sentiasa menghargai setiap doa yang dikirimkan padanya.
Dalam pada itu, Fasha yang bergelar duta kempen produk telekung Bella Ammara untuk Ramadan dan Syawal juga berharap kerjasama itu akan sedikit sebanyak mempengaruhi dirinya.
"InsyaALLAH, berkat saya jadi model telekung ini, mungkin secara perlahan-lahan saya akan ke arah itu (bertudung). Keinginan itu sudah ada, cuma masa yang akan menentukan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram