DOKUMENTARI The Tinder Swindler yang ditayangkan di Netflix menyingkap sisi gelap 'pemburu' cinta di sebalik aplikasi itu.
Ia mengisahkan mengenai pencarian cinta di alam maya, daya tarikan bagi memancing perhatian, penipuan serta keburukan internet itu sendiri.
Perjalanan dokumentari itu diisi dengan kisah tiga mangsa penipuan kepada seorang hartawan berlian dari Israel, menggunakan nama Simon Leviev yang dikenali di aplikasi Tinder.
Imej dan gaya hidup mewah yang ditonjolkan Leviev menarik perhatian wanita-wanita tersebut sebelum profil mereka dipadankan apabila Leviev turut menunjukkan minat sama terhadap mereka.
Pemadanan profil itu lantas membuka ruang kepada Leviev untuk menghubungi mangsanya melalui medium komunikasi lain seperti WhatsApp dan FaceTime.
Leviev bijak memainkan wataknya sebagai hartawan dengan membawa mangsa berjanji temu di hotel lima bintang dengan menjamu sajian mewah seperti kaviar dan champagne.
Mangsa-mangsanya juga berpeluang menaiki jet peribadi dan kenderaan mewah selain dimanjakan dengan pelbagai kejutan seperti hadiah bunga mawar.
FOTO Peter dipukul akan dihantar kepada setiap mangsa bagi mengumpan mereka. — Agensi
Apabila mangsanya mula hanyut dalam permainannya, Leviev akan mengumpan mangsa untuk menyerahkan duit mereka dengan mendakwa dia kononnya menerima ancaman daripada musuh.
'Musuh' itu pula dakwa Leviev adalah pesaing perniagaan berlian yang dijalankan oleh keluarganya.
Leviev akan menghantar foto dan video yang menunjukkan dia dan pengawal peribadinya bernama Peter dalam keadaan berlumuran darah dan kononnya perlu bersembunyi kerana ancaman tersebut.
"Leviev mendakwa dia tiba-tiba tidak dapat mengakses simpanan dan memerlukan bantuan kewangan termasuk tunai dihantar kepadanya," kata salah seorang mangsa, Cecilie Fjellhoy seperti dipetik portal The Guardian.
Wanita dari Norway itu membuat beberapa pinjaman peribadi dari bank berbeza untuk membantu teman istimewanya yang berada dalam kesusahan.
Bagaimanapun dia menyedari dirinya sudah terjerat dalam skim penipuan Leviev selepas cek yang diberikan lelaki bagi melangsaikan hutang terhadap Cecilie, tidak dapat ditunaikan malah disahkan palsu oleh bank berkaitan.
Cecilie menggunakan media gergasi Norway, akhbar VG untuk membongkarkan kisah Leviev atau nama sebenarnya, Shimon Hayut, yang pernah dituduh mencuri dan memalsukan cek bekas majikannya pada tahun 2011.
Menurut The Times of Israel, Hayut juga pernah disabitkan kesalahan di Finland kerana kes penipuan dan telah dikembalikan ke Israel pada 2017, sebelum melarikan diri dari negara itu semula.
Pada 2019, Hayut dihukum penjara di Israel selepas mengaku bersalah atas tuduhan penipuan, tetapi dibebaskan lima bulan daripada tempoh hukuman 15 bulan.
Ketika pembongkaran itu dibuat, Cecilie berpeluang bertemu mangsa lain, wanita dari Sweden bernama Pernilla yang bagaimanapun tidak menjalinkan hubungan romantik dengan Hayut sebaliknya berkawan biasa.
CECILIE (kanan) dan Pernilla yang menjadi mangsa penipuan Hayut di Tinder. — Agensi
Begitupun, Hayut tetap menggunakannya untuk meminjam duit dengan modus operandi yang sama seperti Cecilie.
Sementara itu, seorang mangsa lain, menceritakan bagaimana dia membalas dendam dengan menjual pakaian dan aksesori mewah milik Hayut bagi mendapatkan duitnya semula.
Pada 4 Februari lalu, Hayut dilaporkan telah diharamkan daripada menyertai aplikasi Tinder.
"Kami telah menjalankan siasatan dalam dan mengesahkan Shimon Hayut atau Simon Leviev tidak lagi aktif di Tinder dengan nama penyamaran lain," katanya.
Dokumentari pendek di Netflix memberi pengajaran kepada golongan wanita agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis lelaki selain lebih berwaspada untuk mengenali individu di alam maya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram