IDENTITI sebenar anggota polis yang tular gara-gara menayangkan gari ketika mahu menukar laluan semasa melalui Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Sabtu (12 Februari) dijangka diketahui dalam masa terdekat.
Difahamkan, siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa bagi mengenal pasti siapa individu sebenar yang sedang memandu Proton Persona terbabit, dipercayai seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, setakat ini keterangan enam individu telah diambil bagi membantu siasatan.
“Polis membuka Kertas Inkuiri Polis (KEP) dan telah mengambil keterangan enam individu setakat ini.
“Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sejurus siasatan selesai untuk tindakan selanjutnya,” katanya ringkas kepada Majoriti.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai punca sebenar suspek menayangkan gari kepada orang awam, selain menegaskan segala-galanya masih dalam siasatan polis.
Terdahulu pada Rabu, Majoriti melaporkan suspek dipercayai seorang anggota polis berdasarkan siasatan pihak polis selepas pengadu, seorang pengurus bank, membuat laporan terhadap insiden berkenaan sehari selepas kejadian iaitu pada Ahad (13 Februari).
Berdasarkan laporan polis itu yang dilihat oleh Majoriti pada Rabu, pengadu membuat laporan kerana dikatakan berasa takut dengan tindakan anggota terbabit menayangkan gari semasa memintas keretanya.
Pada 12 Februari 2022, kira-kira jam 1.04 tengah hari, pengadu dalam perjalanan menuju ke Bukit Bintang, dengan melalui Jalan Tun Razak berhampiran Bangunan Tun Razak Exchange.
"Apabila berada di jalan tersebut. secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Persona (V*5*) yang berada di susur kiri jalan cuba masuk ke laluan pengadu tanpa memberi apa-apa lampu isyarat.
"Disebabkan tidak dapat memasuki laluan tersebut, pemandu kereta itu telah mengejar dan memotong kereta pengadu sambil menunjukkan gari di tangan kanannya.
"Pengadu merasa takut dengan tindakan pemandu kereta tersebut telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," demikian laporan polis tersebut.
Laporan sama menyebut, semakan terhadap kereta Proton Persona (V**5**) mendapati pemandu kereta tersebut merupakan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di IPD Wangsa Maju.
"Percakapan anggota polis yang terlibat telah dirakam. Siasatan selari dilakukan oleh Bahagian Integriti Dan Pematuhan Standard IPD Wangsa Maju," tulis laporan polis tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram