Murid makin gemuk


  • Massa
  • Ahad, 16 Jan 2022

KEMENTERIAN Pendidikan melancarkan program BMI 5-9T yang akan bermula pada Mac bagi menangani masalah obesiti kanak-kanak.

OBESITI dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini merupakan masalah yang semakin membimbangkan.

Menurut kajian berterusan yang dijalankan oleh Universiti Malaya (UM), sebanyak 25 peratus pelajar sekolah didapati mengalami masalah obesiti atau berat badan berlebihan.

Kajian itu, yang meninjau perjalanan kesihatan kanak-kanak sejak mereka berumur 13 tahun hingga 17 tahun, juga mendedahkan bahawa kira-kira 13 peratus pelajar yang mempunyai berat badan berlebihan kekal dalam keadaan tersebut sehingga mereka berumur 17 tahun.

Ketua Jabatan Kesihatan Populasi, Perubatan Sosial dan Pencegahan di UM, Prof Madya Dr Hazreen Abdul Majid berkata, hasil kajian itu menunjukkan bahawa adalah penting untuk mendidik murid tentang cara hidup sihat di sekolah.

Bertajuk 'Pasukan Penyelidikan Longitud Kesihatan Malaysia dan Remaja', kajian itu diketuai oleh jabatan Dr Hazreen.

Peserta terdiri daripada pelajar dari 15 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak. Kajian itu melihat kepada sampel darah, amalan diet dan tahap aktiviti fizikal seramai 1,361 pelajar Tingkatan Satu.

Bagi menangani masalah obesiti kanak-kanak, Kementerian Pendidikan melancarkan program BMI 5-9T yang akan bermula pada Mac, apabila kalendar akademik sekolah 2022/2023 bermula.

Program itu akan menyaksikan pihak sekolah mengukur indeks jisim badan (BMI) murid berumur antara lima dan sembilan tahun bagi membantu mereka menyedari kepentingan mengekalkan komposisi badan ideal, melakukan senaman dengan kerap dan mengamalkan diet sihat untuk kesejahteraan diri.

Menyifatkan kanak-kanak dengan berat badan berlebihan dan obes sebagai 'masalah sebenar dan serius', Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Dr Tee E. Siong berkata, kesihatan pemakanan murid sekolah tidak menunjukkan peningkatan selama ini.

Menurutnya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan pada 2019 mendedahkan bahawa 29.8 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 17 tahun mengalami berat badan berlebihan atau obes.

Tambahnya, kajian yang dilakukan pihaknya pada 2017 juga menunjukkan perkara sama.

NSM mengambil sampel lebih daripada 8,000 murid sekolah dan mendapati 28.4 peratus daripadanya adalah obes atau mempunyai berat badan berlebihan, katanya.

"Kajian kami juga menunjukkan bahawa kanak-kanak luar bandar mempunyai masalah yang sama dengan rakan mereka di bandar - sejumlah 25.6 peratus murid luar bandar mempunyai berat badan berlebihan atau obes, berbanding 34.5 peratus murid dalam bandar," katanya.

Kajian yang bertajuk 'Diabetes mellitus jenis 2 di Malaysia: Trend Semasa dan Faktor Risiko' itu meninjau pelajar berumur enam hingga 17 tahun dari 2013 hingga 2015.

Bagi menangani masalah itu, Dr Tee berkata, NSM memperkenalkan pendidikan berasaskan pemakanan kepada sekolah terpilih sejak sedekad lalu.

Ia kini melaksanakan program pendidikan pemakanan dan hidangan sekolah dengan kerjasama pakar pemakanan di Johor.

“Banyak kajian menunjukkan bahawa adalah amat penting untuk menyediakan pendidikan pemakanan di sekolah.

"Selama bertahun-tahun, saya telah menyarankan agar pakar pemakanan ditugaskan ke sekolah untuk melaksanakan pelbagai aktiviti, termasuk menasihati pelajar mengenai status BMI mereka," tambahnya.

Beliau berkata, Malaysia mesti melaksanakan strategi pemakanan untuk mencegah kanak-kanak daripada menghidap penyakit tidak berjangkit apabila dewasa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram