Pemeriksaan suhu badan tidak wajib di sekolah bermula Jumaat


  • Primer
  • Khamis, 10 Feb 2022

TAHAP kesihatan murid di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya. — LOW LAY PHON/The Star

PEMERIKSAAN suhu badan sebelum masuk ke premis institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) adalah tidak diwajibkan bermula Jumaat.

KPM dalam kenyataan pada Khamis bagaimanapun memaklumkan, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis institusi pendidikan bawah KPM.

"Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa atau penjaga dimohon untuk memastikan anak serta anak jagaan berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah.

"Murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif Covid-19 serta tinggal serumah adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah," menurut kenyataan itu.

Ketetapan itu dibuat susulan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa berkaitan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk di premis bermula Jumaat.

Tambah KPM, tahap kesihatan murid di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya.

"KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KPM, suhu, pemeriksaan, SOP, institusi pendidikan