'PERTIKAMAN lidah' antara dua pelakon remaja, Mia Sara dan Puteri Balqis menarik perhatian netizen sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Mia atau nama sebenarnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan dikatakan menjadi pencetus polemik itu apabila menyuarakan pendapat terbuka mengenai kehidupan Puteri Balqis.
"Dia tidak dididik dengan gaya hidup Islamik sejak kecil, nak tegur silakan tapi usah letakkan kesalahan di bahunya," demikian tulis Mia Sara menerusi akaun TikTok miliknya.
Menyedari penulisan Mia Sara, Puteri Balqis mendakwa, tindakan itu membuatkan ramai netizen bercakap tentangnya dan telah menyakitinya dalam masa sama.
Bengang nama ibunya, Norashikin Mohd. Aziz, turut terkait, Puteri Balqis menegaskan, wanita berkenaan satu-satunya insan yang menyayangi dan mengajar dirinya untuk bercakap yang baik sahaja.
"Dengan segala hormatnya, tolong betulkan tatabahasa awak sebelum berkata sesuatu yang buruk tentang saya. Ibu saya seorang pakar dalam mendidik saya bahasa Inggeris yang betul. Kami tidak menggunakan sebarang slanga tiktok ‘rempit’ seperti yang awak lakukan di TikTok dan Twitter.
"Pakai tudung tidak memberikan anda akses percuma untuk bercakap buruk tentang orang lain. Agama tak memberikan anda akses percuma untuk mendera orang lain. ‘Hebatnya’ cara anda menunjukkan peribadi di depan jutaan para pengikut media sosial.
"Melalui lafaz lidah yang dizahirkan, manusia berbahagia. Melalui lafaz perbuatan yang dizahirkan, manusia menderita," katanya.
Terpanggil dengan 'perang' antara Mia Sara dan Puteri Balqis itu, seorang pengguna media sosial bernama Mell Adnan berkongsikan pendapat agar teguran dibuat secara berhemah dan berkongsikan pautan khutbah dari Brunei.
Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei Darussalam menerusi khutbah berkata, nasihat atau teguran yang disampaikan perlu disertakan dengan adab dan sopan.
Hal ini kerana, katanya, tanpa adab dan cara yang betul, ia bukan sahaja akan menimbulkan salah faham, malah akan menimbulkan kemarahan orang yang ditegur selain mengakibatkan terjadinya pertengkaran.
"...kerana tidak semua orang boleh menerima nasihat dan teguran," katanya.
Justeru, khutbah berkata, adab dan sopan perlu seiring dalam menasihati, menegur dan memberi pendapat.
Katanya, niat untuk menegur seseorang mestilah betul demi kebaikan dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan, menghina, mendedahkan aib atau berniat buruk.
"Oleh itu, cara kita menegur mestilah berhemah, berhati-hati dan jangan sengaja mencari kelemahan orang yang ditegur," jelasnya.
Daripada Tamim Midari, Rasulullah SAW bersabda: "Agama itu nasihat. Kami bertanya: Kepada siapa? Baginda SAW bersabda: Kepada ALLAH SWT, kepada kitabNya, kepada rasulNya, kepada para pemimpin kaum Muslimin, dan kaum Muslimin secara umum," — Hadis Riwayat Muslim
Pada masa sama, khutbah memberi saranan tentang adab dan tatacara dalam menasihati dan menegur termasuk dengan bahasa dan suara yang lembut.
"Janganlah sesekali kita menasihati dan menegur dengan suara yang tinggi dan menggunakan bahasa yang angkuh dan seumpamanya kerana kita menasihati dan menegur bukan untuk mendedahkan aib orang," katanya.
Selain itu, khutbah menyarankan orang ramai supaya mengelak daripada menasihati dan menegur kesilapan atau kesalahan individu di depan orang ramai, sebaliknya perkara itu perlu dilakukan ketika seseorang sedang bersendirian atau ketika berada di tempat yang tertutup.
Malah, nasihat dan teguran perlu dilakukan dengan menggunakan perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan individu yang ditegur.
"Berhati-hati dalam memilih perkataan yang sesuai agar orang itu tidak merasa terhina dan rendah diri. Berilah nasihat dengan akal fikiran dan hati bukannya dengan emosi," katanya.
Selain itu, khutbah berkata, individu yang menasihati dan menegur hendaklah meminta maaf selepas membuat teguran bagi memujuk perasaan orang yang ditegur supaya tidak terasa hati atas nasihat dan teguran yang diberikan.
"Apabila kita ingin menasihati dan menegur seseorang, nasihati dan tegurlah sebagaimana kita inginkan diri kita ditegur atau dinasihati dan tegurlah sebagaimana kita inginkan anak dan ahli keluarga kita ditegur.
"Sentiasa bersangka baik terhadap orang yang kita nasihati dan tegur kerana mungkin mereka tidak mengetahui apa yang mereka lakukan itu adalah satu kesalahan.
Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa," — Surah Al-Hujurat:12. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram