ORGANISASI sukan dinasihatkan supaya tidak menunjukkan sikap pilih kasih dalam melaksanakan undang-undang dan hukuman kepada pihak tertentu.
Penganalisis sukan tempatan, Dr Pekan Ramli berkata, dalam konteks sukan secara holistik, setiap tindakan yang dilakukan oleh sesebuah badan harus konsisten dan berlandaskan kepada peraturan sedia ada.
"Lainlah kalau tiada peraturan dan hukuman berkaitan isu ini, atau tiba-tiba klausa peraturan dan hukumannya telah dimansuhkan.
"Pastinya kita tidak mahu peminat sukan di negara ini melihat sebarang keputusan sebagai double standard, pilih bulu, wujudnya 'kasta kayangan' dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang FAM, Saaran Nadarajah dilaporkan berkata, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak akan dikenakan sebarang hukuman susulan kenyataan yang dibuatnya terhadap FAM dan skuad kebangsaan.
Ia susulan daripada kenyataan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah yang berpendapat bahawa baginda boleh dikenakan hukuman atas kesalahan mengkritik badan induk itu.
Mengulas lanjut, Pekan berkata, setiap peraturan dan hukuman itu, jika ada, perlu dikuatkuasakan kerana ia bertujuan untuk mendidik pelakunya serta memberi pengajaran kepada yang lain.
"Peraturan dalam sesebuah organisasi sukan sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa itu biasanya sangat jelas, apatah lagi dalam hal bola sepak yang diterajui FIFA, yang sangat berkuasa dan konsisten dalam setiap tindakannya hingga kerajaan sesebuah negara tidak dibenarkan campur tangan dalam hal pentadbiran badan induk sesebuah persatuan bolasepak kebangsaan.
"Ramai ikon-ikon bola sepak dunia yang lantang mengkritik samada kritikan yang membina atau untuk melepaskan kekecewaan kepada sesebuah organisasi pernah dihukum denda dan digantung.
"Ini perkara biasa yang berlaku di seluruh dunia termasuklah amalan FAM sebelum ini, cuma nak teruskan atau tidak sahaja," jelasnya.
Bagaimanapun, Pekan berpendapat, isu tersebut tidak perlu diperbesarkan oleh pihak tertentu kerana banyak lagi perkara yang harus diberi perhatian.
"Sama ada baginda patut disaman atau tidak kerana mengkritik FAM, tak perlu perbesarkan lagi. Ini soal kecil sahaja.
"FAM sedang diuji dengan isu yang amat berat dan begitu hebat serta menuntut pertimbangan yang sangat waras dalam isu ini.
"Pilihan di tangan FAM, pendekatan yang sangat diplomatik diperlukan dalam menangani isu ini. Menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram