MASIH segar meraikan kejayaan global Squid Game dan Hellbound, syarikat penstriman filem dan drama dalam talian, Netflix dilaporkan menjadual pelancaran 25 rancangan Korea Selatan sepanjang 2022.
Jumlah tersebut sekali gus menjadi tayangan tertinggi syarikat itu setakat ini.
SIRI Squid Game dan Hellbound merupakan dua rancangan popular di Netflix. — Agensi
Antara rancangan baharu yang bakal ditayangkan termasuk All of Us Are Dead, mengisahkan tentang serangan zombi di sebuah sekolah menengah yang akan menemui penonton pada 28 Januari 2022.
Selain itu, siri adaptasi popular Sepanyol Casa de Papel, Money Heist: Korea – Joint Economic Area dan Seoul Vibe, sebuah filem aksi yang memaparkan pengembaraan pasukan operasi khas berlatar belakangkan Sukan Olimpik Seoul 1988 juga bakal ditayangkan di Netflix.
Komitmen Netflix untuk melabur hampir $500 juta (RM2.09 bilion) dalam kandungan Korea untuk kalendar 2021 sememangnya membuahkan hasil yang memberangsangkan, bagaimanapun syarikat berkenaan belum mendedahkan lagi pelaburan mereka untuk 2022.
Dalam catatan blog Naib Presiden kandungan Netflix untuk Korea, Don Kang, dia teruja dengan keluaran 2022.
"Kami akan terus melabur dalam ekosistem kreatif Korea dan bersama-sama kami akan terus menunjukkan kepada dunia bahawa 'Buatan Korea' bermaksud 'Dibuat dengan Baik'."
“Pujian harus diberikan kepada penggiat seni Korea yang berbakat dan bekerjasama dengan kami sejak beberapa tahun dari 2016 hingga 2021.
"Kami melancarkan lebih daripada 130 judul Korea yang menjadikan Netflix sebagai destinasi pilihan peminat kandungan Korea, ” katanya.
Antara rancangan lain yang bakal ditayangkan adalah;
1. Filem Love and Leashes (11 Februari)
2. Drama Thirty Nine (ditayangkan dua kali seminggu mulai 16 Februari)
3. Rancangan komedi tanpa skrip, Celeb Five: Behind the Curtain
Syarikat itu turut mengesahkan Squid Game sebagai rancangan mega platform itu.
Ia merupakan rancangan Netflix yang paling banyak ditonton di 94 negara pada kemuncaknya, dengan 95% penonton dari luar Korea.
Kang berkata, ramai penonton Squid Game kemudiannya meneroka kandungan Korea yang lain.
Antara rancangan yang mendapat manfaat termasuk keluaran terbaharu, Hellbound dan The Silent Sea.
“Dua bulan selepas Squid Game, kami melancarkan Hellbound yang mana tayangan perdananya mencatatkan 43.48 juta jam tontonan.
"Hellbound adalah antara 10 rancangan Netflix teratas di 93 negara, dan menduduki tempat pertama di 34 negara.
"Misteri sains fiksyen, The Silent Sea juga berjaya menduduki tempat pertama dalam senarai 10 teratas mingguan bukan Inggeris untuk tayangan perdana," tambahnya lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram