Nenek dua cucu kuasai TikTok, Instagram jual capati


Amarjit antara warga emas yang telah menerima teknologi dengan tangan terbuka. — Diane Lee/The Star

APABILA Amarjit Kaur Sran bersara sebagai guru lima tahun lalu, beliau mula mendaftarkan dirinya sebagai pelajar beberapa kursus pemasaran dalam talian untuk menumpukan kehidupan selepas bersaranya dengan menjual makanan Punjabi lazat yang dimasak sendiri.

Bekas guru Bahasa Inggeris dari SM (L) Methodist Sentul ini adalah antara warga emas yang menerima perkembangan teknologi dengan tangan terbuka.

Pandemik adalah masa paling sesuai untuk nenek kepada dua cucu itu mendaftarkan diri dalam kursus pemasaran dan beliau telah menggunakan segala yang dipelajari untuk mempromosikan makanannya di media sosial.

Setiap hari, beliau memuat naik video dan gambar chapati, dal, ayam mentega dan banyak lagi di Instagram dan TikTok.

Seperti kebanyakan usahawan baru, beliau menyedari bahawa media sosial adalah salah satu cara paling berkesan untuk mempromosikan perniagaannya yang kini berusia setahun.

“Saya memerhati impak media sosial terhadap orang ramai dan saya terfikir ia adalah cara yang pantas untuk mempromosikan sesuatu.

“Sejak pandemik, lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan telefon dan komputer riba terutamanya semasa tempoh perintah kawalan pergerakan, ramai yang bergantung pada peranti mereka untuk berita, berbelanja dalam talian dan penghantaran makanan,” kata Amarjit yang menetap di Rawang, Kuala Lumpur.

Walaupun beliau bersemangat menggunakan kemahiran dalam talian yang baru diperolehnya untuk mempromosikan perniagaannya, pesara itu menjelaskan bahawa memulakan perniagaan adalah cara untuk dirinya terus aktif meniti usia senjanya.

Baginya, sesiapa sahaja boleh mempelajari kemahiran baharu di platform media sosial tanpa mengira umur. Apa yang diperlukan hanyalah semangat dan keazaman, kata Amarjit.

“Usia hanyalah angka, semua orang boleh melakukan apa sahaja jika meletakkan hati dan fikiran kepada perkara diminati. Memulakan langkah pertama sememangnya sukar tetapi dengan pengetahuan dan kemahiran, apa sahaja boleh dilakukan,” kata Amarjit.

Beliau mendapat hasil pertamanya dalam perniagaan pada 2019, apabila beliau menjual chapatinya di kumpulan Facebook seperti Caring Moms dan Winner's Innovative Empowerment Network (WIEN) Group MY. Tahun lepas, beliau melancarkan Amarjit's Kitchen.

Warga emas kini menerima teknologi

Kajian 2016 oleh Dallas' University of Texas mendapati bahawa orang dewasa yang lebih tua dengan gaya hidup sibuk menikmati fungsi kognitif yang lebih baik daripada rakan sebaya mereka yang kurang aktif.

Penyelidikan menunjukkan warga emas yang mengambil bahagian dalam gaya hidup harian yang sibuk menunjukkan daya ingatan kerja, penaakulan, perbendaharaan kata yang lebih baik dan kelajuan pemprosesan otak yang cekap.

Sewaktu cuba memulakan pelancaran perniagaannya dalam talian, Amarjit terkial-kial kerana tidak tahu cara untuk memasarkan produknya. Kapsyennya pada gambar, video IGTV (video Instagram) dan "Reels" tidak cukup kreatif untuk menarik perhatian pengikut dan kumpulan sasarannya, kongsi Amarjit.

“Walaupun saya sudah mempunyai akaun Instagram, saya tidak mempromosikan halaman saya dengan cara yang betul. Pada permulaannya, saya menggunakan Google untuk mengetahui cara memuat naik siaran.

"Pada kebanyakan masa, siaran yang dikongsi tidak berjaya menarik perhatian penonton dan saya berasa kecewa kerana telah membuang banyak masa.”

Jadi semasa perintah kawalan pergerakan pertama, beliau memutuskan untuk mendaftar kursus pemasaran dalam talian yang dilihatnya dalam beberapa kumpulan Facebook.

“Saya telah mendaftar untuk beberapa kursus pada kadar yang sangat berpatutan. Antaranya, TikTok Marketing For Business, Insta As Easy As ABC, Facebook Marketing dan Passion for Business. Selepas menamatkan kursus, saya lebih memahami cara menggunakan Instagram dengan baik.

“Saya juga belajar tentang penjenamaan, algoritma dan reka bentuk logo. Sebaik sahaja saya menukar strategi perniagaan saya, siaran saya mula mendapat banyak paparan. Capaian saya lebih baik dan itu meningkatkan keyakinan saya hari ini. Saya juga mula menerima banyak pesanan daripada Instagram,” kongsi Amarjit.

Beliau juga mendapat manfaat daripada banyak tutorial pemasaran percuma dari platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Pinterest.

“Saya bermula dengan kumpulan di Facebook, belajar memerhati apa yang orang lain lakukan tetapi tidak meniru, melakukan banyak percubaan dan kesilapan, terutamanya semasa sesi siaran langsung. Sebagai contoh, saya menyertai Kumpulan Facebook Blue Spoon Community Of Home Cooks, Chefs And Bakers dan banyak belajar daripada sesi Zoom mereka, terutamanya tentang cara mempromosikan chapati saya tanpa modal.

“Lama kelamaan, saya berjaya mempromosikan produk saya dan mencapai khalayak sasaran saya. Hari ini, saya mempunyai pelanggan tetap dan pelanggan baharu setiap minggu. Sokongan amat menggalakkan,” kata Amarjit.

Amarjit's husband Dr Bhagwan has been supportive throughout her journey as a teacher to a businesswoman. — AMARJIT KAUR SRAN

SUAMI Amarjit, Dr Bhagwan telah menyokong dirinya sepanjang perjalanan. — Diane Lee/The Star

Beliau bersyukur kerana suaminya Dr Bhagwan Singh, 65, dan dua orang anak, Dr Shereen Kaur, 35, dan Dr Rasween Singh, 30, telah menyokong sepanjang perjalanannya daripada seorang guru kepada ahli perniagaan.

Ibu Amarjit, Sarjit Kaur, 80, yang tinggal bersamanya turut membantunya melakukan persediaan ketika memasak serta melabelkan tempahan yang keluar. Amarjit berkata sokongan ibunya telah menyemarakkan lagi keazamannya untuk bekerja lebih keras.

“Ahli keluarga membenarkan saya melakukan apa yang menggembirakan saya. Mereka tidak pernah mengganggu minat dan impian saya. Mereka memberi saya ruang dan masa untuk melebarkan sayap sejauh yang saya mahu dalam mencari ilmu.

“Saya menggunakan bantuan penghantaran daripada "runner" tetapi kadang-kadang suami dan anak juga menjadi "runner" saya. Saya sangat bertuah dan bernasib baik.”

Amarjit mengakui bahawa menjalankan perniagaan bukan sesuatu yang mudah.

Selain perlu memastikan kualiti makanan sentiasa terjaga, masalah penghantaran juga timbul. Beliau perlu berhati-hati supaya tiada pesanan terabai.

Tambah-tambah lagi, berdiri berjam-jam untuk mengguling chapati kadangkala membuatkan badannya sakit.

“Saya mendapat balasan adil untuk resipi yang rosak, chapati hangus, pesanan lewat, pesanan yang terlupa, dan pelanggan yang tidak berpuas hati. Tetapi, saya menerima segalanya dengan tenang.

"Saya belajar daripada setiap kesilapan dan komen negatif di samping saya berusaha untuk menjadi lebih baik dan lebih teratur di dapur saya,” jelas Amarjit, yang juga gemar berkebun, membaca dan membuat seni dan kraf ketika masa lapang.

Beliau menganggap kegigihan dan pemikirannya yang positif adalah dari sekitar empat puluh tahun kerjayanya sebagai seorang guru.

“Guru mempunyai asas konsisten dan berdisiplin. Mereka mempunyai dorongan dan sokongan untuk terus berjalan tanpa mengira halangan. Walaupun ada masa saya mahu berputus asa, saya tetap teruskan dan bertahan," kata Amarjit.

Amarjit memetik pengarang Jagjeet Singh sebagai idola. Beliau menganggap idolanya "profesional dalam media sosial walaupun dia berusia 80-an."

Dia menggalakkan warga emas untuk terus maju mengikut peredaran zaman.

“Norma baharu ialah media sosial, jadi bagaimana kita hendak lari daripadanya? Untuk siri TV atau filem terkini, ia adalah Netflix, dan untuk berita terkini, ia adalah Twitter, Facebook, Instagram dan portal berita. Tiada jalan keluar, jadi anda perlu mengikuti orang ramai atau ketinggalan.

"Sejak pandemik, rakyat Malaysia telah beralih kepada dunia membeli-belah dalam talian, e-pembelajaran, dan juga berhimpun dengan keluarga melalui Facetime, Zoom dan Google Meet.

“Kita perlu bergerak mengikut masa atau kita akan ketinggalan. Hari ini media sosial adalah cara untuk ke hadapan, semua orang berada dalam media sosial.

Terdapat banyak peluang pembelajaran untuk kita di luar sana. Anda perlu bangkit untuk mula atau bersedia untuk ditinggalkan, "katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bizz, amarjit, usahawan, chapati, teknologi,