'Pak cik tua' Squid Game rangkul anugerah Golden Globe


  • Hiburan
  • Selasa, 11 Jan 2022

SIRI Squid Game turut dicalonkan untuk Siri Televisyen Terbaik (Drama) Anugerah Golden Globe. — Agensi

PEMEGANG watak 'pak cik tua' dalam siri popular Squid Game, Oh Young Soo menjadi pelakon Korea pertama yang menerima anugerah di Golden Globe yang berlangsung pada Ahad di Beverley Hills, California, Amerika Syarikat.

Anugerah Golden Globe ke-79 ialah salah satu rancangan anugerah berprestij yang memberi penganugerahan kepada karya-karya terbaik dan penggiat seni televisyen dan filem.

Young Soo memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk kategori Televisyen untuk peranannya sebagai Oh Il Nam dalam siri asal Netflix, Squid Game.

Dia telah dicalonkan bersama Billy Crudup dan Mark Duplass dalam The Morning Show, Kieran Culkin (Succession) dan Brett Goldstein dalam Ted Lasso.

Pada malam berkenaan, Young Soo yang diwakili wakil dari Netflix menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas penganugerahan tersebut.

"Ini merupakan kali pertama dan saya cuma lelaki yang sederhana.

"Ketika ini kita bukan tinggal di dalam dunia, tetapi dunia sudah berada di dalam kita.

"Kita sudah boleh berkongsi kasih sayang, budaya kepada semua rakyat di dunia dan saya berterima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan. Diharapkan anda semua menjalani kehidupan yang indah," katanya.

Pada malam itu, siri Squid Game turut dicalonkan untuk Siri Televisyen Terbaik (Drama), manakala Lee Jung Jae telah dicalonkan untuk Persembahan Terbaik (Pelakon) dalam Siri Televisyen (Drama).

Tercalit kontroversi rasuah dan dipulaukan penggiat seni Hollywood, Anugerah Golden Globe kali ini tidak disiarkan di televisyen atau distrim dalam talian.

Majlis anugerah itu dijalankan tanpa penonton, dan pemenang diumumkan melalui laman web rasmi Golden Globe dan akaun media sosial. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram