MELAKUKAN kajian terhadap 'meta' sesuatu permainan video terutamanya berbentuk 'First-person Shooter (FPS)' merupakan antara kemahiran paling penting perlu dikuasai oleh para pemain sekiranya ingin pergi lebih jauh selain menewaskan musuh.
Meta permainan merupakan perubahan yang dilakukan oleh pengeluar permainan video berkenaan melibatkan beberapa perkara seperti karakter, senjata dan peta.
Bagaimanapun, perubahan itu bergantung kepada sesuatu permainan video dan tidak hanya terhad kepada FPS.
Menurut atlet e-sukan Counter Strike dan Valorant, Nor Aiman Nor Azham, 28, setiap 'patch' yang dikeluarkan akan mengubah meta permainan berkenaan dan perkara itu perlu dititikberatkan oleh para pemain.
"Ada senjata lebih kuat, ada yang dilemahkan. Jadi semua informasi ini wajar diambil tahu untuk merancang taktikal permainan yang baharu untuk kita sendiri.
"Selain itu, anda perlu kerap bermain atau berlatih supaya deria anda akan cepat 'menangkap' apa yang berlaku di sekeliling ketika dalam pertandingan," katanya kepada Majoriti.

SETIAP 'patch' akan memberi perubahan dalam meta permainan. — Facebook
Nor Aiman yang kini bernaung di bawah payung Todak sejak 2020, mula bermain Counter Strike sejak kecil lagi.
Pada usianya menginjak 15 tahun, Nor Aiman mula serius menyertai pertandingan dan akan berlatih selepas tamat sesi persekolahan setiap hari.
Pencapaian terbaik yang pernah dikecapinya adalah juara Asean Games for Esports 2016.

NOR Aiman (tengah, duduk) beraksi bersama pasukan FrostFire pada 2018. — Ihsan Nor Aiman
Ujar beliau, komuniti e-sukan di Malaysia sangat kecil berbanding di luar negara menyebabkan tidak banyak penaja tempatan yang sudi melabur dalam bidang tersebut.
"Kalau komuniti permainan X sangat sedikit orangnya, tidak akan ada orang mahu menonton pertandingan disiarkan secara langsung tajaan Penaja Y.
"Jadi Penaja Y tidak akan dapat melakukan kelestarian bisnes terhadap permainan X kerana gagal menjalankan promosi kepada jumlah penonton yang disasarkan.
"Oleh itu, komuniti sesuatu permainan itu memainkan peranan yang besar," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
