BERMAIN permainan video bukan sahaja meredakan seketika tekanan atau sekadar mengisi masa lapang, malahan turut memberi kebaikan lain dalam kehidupan seharian.
Bagi atlet e-sukan Counter Strike, Muhammad Idzni Rosdi, permainan video berkenaan mengajar dirinya bagaimana untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan.
"Dalam Counter Strike, kita belajar cara bekerja sebagai satu pasukan dan bagaimana untuk sentiasa merendah diri dengan rakan sepasukan serta membantu mereka untuk bertambah baik.
"Apabila kita membantu mereka, secara automatik kita juga akan bertambah baik.
"Counter Strike turut mengajar saya bagaimana untuk bekerjasama dengan orang lain dan cara menyelesaikan masalah langkah demi langkah kerana dalam permainan video tersebut, anda tidak boleh sewenang-wenangnya memasang bom kerana mempunyai langkah yang perlu diikuti.
"Sebagai contoh, mula-mula anda perlu memastikan rakan sepasukan sudah bersedia untuk menyerang, komunikasi juga perlu tepat dan semua senjata yang diperlukan untuk menyerang pihak musuh.
"Perkara ini juga terpakai dalam kehidupan sebenar, selesaikan masalah anda sedikit demi sedikit, langkah demi langkah," ujarnya kepada Majoriti.
MUHAMMAD Idzni (tengah) ketika memenangi kejohanan ROG Master Counter Strike: Global Offensive (CSGO) pada 2017. — Ihsan Muhammad Idzni
Ketika ditanya tentang strategi yang sering digunakan ketika bermain Counter Strike, Muhammad Idzni berkata: "Strategi kami akan sentiasa bermula sebagai apa yang kami panggil 'Default'.
"Strategi itu digunakan apabila anda ingin mengetahui cara pihak musuh bermain.
"Apabila kami menggunakan strategi tersebut, semua ahli pasukan mempunyai peranan tersendiri. Setiap pemain akan berada di lokasi berbeza.
"Selepas kami mempunyai idea bagaimana pihak musuh bermain, kami akan mula melemahkan benteng pertahanan mereka sedikit demi sedikit.
"Kami akan cuba memisahkan seorang demi seorang pihak musuh dan 'membunuh' mereka beramai-ramai bagi memperoleh kemenangan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram