SIAPA tidak kenal dengan pengarah Osman Ali, pengarah yang banyak menghasilkan filem pecah panggung antaranya Pilot Cafe, Ombak Rindu dan Anak Halal.
Terbaharu, Osman akan tampil dengan sebuah filem berjudul Telaga Suriram yang baru memulakan penggambaran pada 20 Januari lalu.
Menurut Osman, filem itu sudah dirancang sejak dua tahun yang lalu namun disebabkan beberapa faktor, dia terpaksa menyimpan dahulu karyanya itu.
"Saya dah rancang dua tahun dulu lagi tetapi disebabkan beberapa faktor antaranya perlu mencari sumber kewangan yang menyebabkan saya simpan Telaga Suriram ini.
"Selain itu, kisah dalam Telaga Suriram ini diambil daripada pengamatan saya dalam kehidupan seharian dan itu juga mengambil masa untuk disiapkan," katanya.
Selain itu, Osman turut mengakui pandemik Covid-19 juga membuatkan dia berasa takut untuk memulakan penggambaran filem terbaharunya itu.
Jelasnya, dengan kes Covid-19 yang masih tinggi dan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi membuatkan dia tidak yakin untuk meneruskan karyanya itu.
"Individu yang memberi saya semangat supaya tidak menangguhkan lagi Telaga Suriram adalah produser, Zack Abbas. Kata-kata dia yang membuatkan saya terus nekad memulakan penggambaran," katanya.
Ditanya mengapa memilih genre dramatik dan seram untuk karya terbaharunya, Osman berkata, dua elemen itu adalah sesuatu yang malar segar di hati penonton.
Malah, dia sendiri sudah lama berhasrat untuk menghasilkan genre itu bagi dipersembahkan kepada penonton.
Telaga Suriram mengisahkan tentang kejadian di sebuah kampung terpencil melibatkan insiden kehilangan seorang anak kecil bernama Suriram yang menjadi misteri.
Pelbagai cerita orang kampung tentang korban saka dan anasir mistik menjadi bualan hangat.
Rohaya (Maya Karin) dan Sopian terus berusaha mencari anak mereka yang hilang. Seorang gadis bisu yang menjadi pengasuh Suriram iaitu Maimon (Nabila Huda) menjadi suspek utama pembunuh Suriram.
Zakir (Farid Kamil), bakal seorang pemimpin muda memperjuangkan keadilan buat Suriram dengan membantu seorang pegawai penyiasat bernama Karmila (Scha Al Yahya).
Mereka bersama-sama menyiasat dan memperjuangkan keadilan terhadap kematian Suriram.
Penggambaran Telaga Suriram yang bermula 20 Januari lalu sehingga 10 Mac diadakan di di beberapa lokasi iaitu Perlis, Kedah dan Perak. Manakala untuk babak dalam air, penggambaran akan dilakukan di Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram