Dialog hanya 1 peratus, Nabila Huda 'dibisukan' pengarah


  • Hiburan
  • Rabu, 12 Jan 2022

DARIPADA seorang yang gemar bercakap, Nabila Huda dibisukan oleh pengarah filem.

LAMA menyepikan diri daripada karya terbaharu di layar perak, pelakon dan pengacara, Nabila Huda akhirnya kembali menerusi filem bergenre dramatik seram, Telaga Suriram.

Tambah mengujakan Nabila adalah pengarah filem tersebut ialah Osman Ali, individu yang sudah lama diidamkan untuk bekerja sekali.

Tetapi, watak yang diberikan kepada pelakon filem Munafik itu sangat berbeza dengan personaliti sebenarnya kerana hanya satu peratus dialog sahaja yang diberikan.

"Bayangkan saya sebagai seorang yang banyak cakap, tetapi Osman Ali berjaya membisukan saya. Memang saya diberikan watak bisu dalam filem itu.

"Hanya satu peratus sahaja dialog saya dalam itu sebab ada kejadian yang berlaku membuatkan saya menjadi bisu dalam filem tersebut," katanya.

DSC00310BARISAN pelakon yang membintangi filem Telaga Suriram.

Nabila berkata demikian selepas sidang media pelancaran filem Telaga Suriram di The Majapahit Restaurant, Mont Kiara, Damansara pada Selasa.

Selain Nabila, turut berlakon dalam filem tersebut ialah Maya Karin, Scha Alyahya dan Farid Kamil.

Menurut Nabila, sebenarnya watak Maimon yang diberikan Osman itu sudah lama diidamkan namun tidak pernah ditawarkan sebelum ini.

"Watak begini memang saya kena bentukkan sendiri sebab memang tiada rujukan. Jadi saya kena bentuk emosi dan fizikal bagi menjayakannya.

"Saya sekarang sedang melakukan diet dan akan membuat beberapa perubahan fizikal yang lain untuk watak. Daripada segi penjiwaan memang kena bermain dengan emosi apatah lagi ada sebab mengapa Maimon itu menjadi bisu," katanya.

Dalam pada itu, Nabila yang juga pengacara sebuah program hiburan berkata, dia akan terpaksa berulang alik daripada lokasi penggambaran ke studio program.

Jelasnya, memang dia terpaksa berkorban daripada segi masa apatah lagi lokasi penggambaran dijalankan di Perlis, Kedah dan Perak.

"Bidang pengacaraan memang sesuatu yang saya nak belajar dan akhirnya diberi peluang. Watak Maimon pula sudah lama saya idamkan dalam kerjaya lakonan.

"Jadi mahu atau tidak, memang saya korbankan. Lagipun lakonan sememangnya menjadi keutamaan buat saya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram