RAMAI yang sudah mengetahui bahawa pelakon, Anzalna Nasir telah menjalin kerjasama dengan syarikat tudung, Loveta yang dimiliki oleh arwah Siti Sarah Raissuddin.
Namun menurut Anzalna, pelawaan itu sebelum ini sudah hadir banyak kali sebelum arwah pergi namun dia terpaksa menolak atas beberapa sebab.
"Sebenarnya memang dah banyak kali arwah nyatakan hasrat untuk mengambil saya sebagai duta produk kosmetiknya sebelum ini.
"Tetapi. saya terpaksa tolak sebab dah ada komitmen bersama dengan produk kosmetik yang lain.
"Bukan sekali dua, tapi dah banyak kali dan setiap kali dia tawarkan, mesti saya dah ada ikat kontrak dengan jenama lain. Jadi memang sukar," katanya.
Anzalna berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran kempen Loveta X Anzalna di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anzalna turut memberitahu yang sebenarnya dia ada menerima tawaran beberapa jenama tudung yang lain tetapi terpaksa ditolak demi hajat arwah.
"Sebenarnya jenama lain itu pun memang saya sangat suka tetapi saya tolak sebab Loveta," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ratasya Empire, Siti Fatimah Suberi berkata, dia bersyukur kerana hubungan baik Anzalna dengan arwah Siti Sarah menjadi penyebab utama pelakon itu sudi menjalinkan kerjasama.
Malah menurut Siti Fatimah, Anzalna juga tidak menunggu lama untuk memberi jawapan ketika ditawarkan untuk bersama Loveta.
"Menerusi kempen Loveta X Anzalna ini, kita memperkenalkan Anzalna Shawl iaitu shawl semi instant yang hadir dengan 11 koleksi warna yang menarik.
"Produk ini juga adalah mengikut citarasa pelakon berkenaan yang mahukan tudung jenis mudah dipakai tetapi mempunyai kelas dan standard tersendiri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram