LIMA bulan pemergian isteri, Siti Sarah Raissuddin diibaratkan Shuib sebagai satu tempoh yang masih baru baginya.
Namun, soalan berkenaan jodoh baharu untuk menjadi isteri dan ibu kepada empat orang anaknya sudah mula menjadi bahan bualan.
Terbaharu, Shuib mendedahkan yang dia sedang berkenalan dengan seseorang tetapi belum lagi ke tahap yang serius.
"Bagi saya, masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perkara ini apatah lagi persetujuan untuk berkahwin bukan terletak di tangan saya.
"Apa yang penting adalah anak-anak serta keluarga terima, saya akan okay untuk terima isteri baharu," katanya Shuib yang ditemui pada majlis pelancaran kempen Loveta X Anzalna pada Jumaat.
Menurut Shuib, ibunya juga ada bertanya dan meminta supaya dia menunjukkan gambar atau membawa wanita baharu untuk berkenalan dengannya.
Namun kata pelawak itu, masih terlalu awal untuk berbuat demikian dan dia sendiri tidak boleh menjangka bila mahu berkahwin lagi.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kecaman netizen terhadapnya bila bercakap mengenai jodoh, Shuib berkata, dia langsung tidak mempedulikan perkara tersebut.
"Saya tak boleh nak tutup mulut orang dan pasti akan ada sahaja yang bercakap mengenai saya atau melakukan perbandingan antara jodoh baharu dengan arwah.
"Tetapi adakah mereka tahu apa yang saya dan anak-anak hadapi. Mereka tak tahu jadi buat apa saya nak kisah.
"Apa yang penting ialah saya ikut kata keluarga saya kerana mereka yang lebih tahu dan ambil berat mengenai diri saya dan anak-anak," katanya.
Untuk rekod, arwah Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19 dan tanggungjawab sebagai bapa dan ibu kini dipikul oleh Shuib.
Hasil perkahwinan bersama Siti Sarah, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini berusia lima bulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram