SELEPAS diselubungi kontroversi kerana memilih untuk tidak mahu mengambil vaksin, pelakon, Ellie Suriaty akhirnya mendedahkan yang dirinya sudah lengkap divaksin.
Ellie atau nama sebenarnya Ellie Suriaty Omar berkata, vaksin jenis Sinovac itu diambil pada penghujung November lalu.
"Saya ambil vaksin jenis Sinovac la sebab Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kan ambil vaksin itu. Jadi saya pun ikutlah.
"Lagipun suami saya pun dah ambil vaksin dan dia pun dah dua tahun beri saya ruang untuk fikir sama ada mahu ambil vaksin atau tak," katanya kepada Majoriti.
ELLIE Suriaty ambil vaksin selepas dua tahun bertegas untuk tidak ambil vaksin.
Dalam pada itu, Ellie juga memberitahu yang dia mengambil vaksin kerana patuh kepada arahan suaminya yang juga seorang pelakon, Azri Iskandar.
"Lagipun dia dah beritahu beri ruang kepada saya selama dua tahun untuk nyatakan pendirian saya mengenai vaksin.
"Azri pun beritahu yang tempoh masa itu sudah cukup itu saya berhenti bercakap mengenai perkara itu. Jadi saya rasa sudah tiba masa untuk ikut kata dia," katanya.
Menurut Ellie lagi, sejujurnya memang 'berperang' sekejap bila dia tegaskan tak mahu divaksin tetapi tetap mengambilnya atas permintaan suami.
Dalam pada itu, ditanya mengenai tuduhan yang mengatakan dia seorang antivaksin, jelas Ellie, dia bukan seorang yang antivaksin.
"Kalau saya antivaksin, dari dulu saya tak cucuk apa-apa vaksin. Cuma, apa yang saya persoalkan tentang vaksin Covid-19 ini adalah tentang keberkesanannya kerana dibuat secara terburu-buru.
"Sebagai seorang manusia dan rakyat, saya rasa berhak untuk bersuara dan pendirian saya adalah berdasarkan kepada kajian yang dilakukan golongan pakar,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram