Jennifer Lawrence akui ketagih TikTok


  • Hiburan
  • Isnin, 10 Jan 2022

JENNIFER Lawrence pada mulanya malu mengakui yang TikTok adalah ketagihannya ketika ini. — Agensi

SIAPA yang tidak kenal dengan aktres Jennifer Lawrence? Bintang filem yang mempunyai sikap cukup bersahaja, tetapi memukau setiap kali memainkan karakternya dalam panggung.

Sikap bersahaja Lawrence yang gemar bergurau cukup disenangi peminat. Terbaharu, dia mendedahkan yang dirinya kini sedang ketagih dengan aplikasi TikTok.

Tidak dinafikan satu ketika dahulu ramai yang membenci TikTok tetapi kini, seseorang itu boleh habis masa yang lama dengan hanya menonton video pendek di aplikasi itu.

Lawrence mendedahkan yang dia ketagihan aplikasi itu ketika tampil sebagai tetamu dalam rancangan The Late Show With Stephen Colbert baru-baru ini.

Menerusi program itu, Lawrence ditanya mengenai apakah aplikasi yang sering digunakannya dan bintang filem The Hunger Games itu memberitahu ia adalah TikTok.

"Saya sebenarnya benci nak jawab soalan itu tetapi apa yang pasti, buat masa ini adalah TikTok," katanya sambil tertawa.

Tetapi menurut Lawrence, dia hanya membuka akaun TikTok untuk melihat video orang lain dan tidak pernah memuat naik sebarang video.

Malah, Lawrence juga berkata agak mustahil untuk dirinya memuat naik video di TikTok buat masa ini mahupun di masa depan.

"Saya lebih terhibur untuk menonton video daripada orang lain namun untuk memuat naik video saya sendiri, jawapannya adalah tidak," katanya.

Dalam pada itu, Lawrence yang sudah tiga tahun tidak tampil dengan filem terbaharu turut mendedahkan yang tempoh masa itu diambil untuk merehatkan diri.

Jelasnya, sepanjang pandemik Covid-19 melanda, dia lebih banyak meluangkan masa di rumah dan memasak.

Untuk rekod, Lawrence kini sedang muncul filem terbaharunya berjudul Don't Look Up yang dibintangi bersama Leonardo DiCaprio.

Filem arahan McKay itu kini sedang disiarkan di Netflix dan berada di dalam senarai top 10 filem yang ditonton.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram