Walaupun tersingkir GV, Fazley Yaakob kini capai anugerah setaraf Siti Nurhaliza


  • Hiburan
  • Selasa, 21 Dis 2021

Fazley Yaakob (tengah) bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (kanan) dan Pengasas Yayasan Usahawan Malaysia (MyPreneurship), Nitesh Malani (kiri).

RAMAI yang mengkritik kemampuan vokal penyanyi, Datuk Fazley Yaakob dalam Gegar Vaganza (GV) sehingga dia tersingkir pada minggu ke empat pertandingan itu musim ini.

Tetapi, Fazley tidak pernah menganggap perkara itu sebagai satu cara untuk dia melemparkan rasa tidak puas hati terhadap mereka yang mengkritiknya sebelum ini.

Menganggap itu sebagai satu ketentuan, Fazley yang juga seorang cef tidak pernah berkecil hati dan terus mencabar dirinya terutamanya dalam dunia perniagaan.

Pintu pertama mungkin dia dikritik, tetapi di pintu lain, Fazley membuktikan kemampuannya dan terbaharu, dia menerima anugerah Celebrity Entrepreneur Of The Year SME Entrepreneurship Business Award 2021 (SEBA 2021).

Meluahkan rasa bangga dan terharu, Fazley, 43, menganggap anugerah itu sebagai satu peningkatan jenama perniagaan dan dirinya sendiri sepanjang hampir sedekad menceburi dunia seni dan cef.

"Saya tidak menyangka sama sekali akan sebaris dengan nama-nama besar yang pernah menerima anugerah yang cukup berprestij ini.

DATUK Fazley Yaakob menunjukkan anugerah dan sijil yang diperolehnya.

"Walaupun tahun ini penuh dengan dugaan dan cabaran, namun anugerah ini adalah pelengkap kepada tahun ini.

"Keterlibatan dalam Gegar Vaganza 8, penjenamaan Suka Sucre yang lebih besar dan pelbagai lagi kejayaan disempurnakan dengan anugerah ini," katanya.

Majlis itu berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada 9 Disember dan turut menobatkan beberapa nama besar dalam dunia usahawan serta perniagaan sebagai penerima anugerah.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Pengasas Yayasan Usahawan Malaysia (MyPreneurship), Nitesh Malani.

Sebelum ini, anugerah yang diterima Fazley pernah disandang beberapa ikon seni antaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Neelofa, Elfira Loy dan Shuib.

Dalam pada itu, tambah Fazley, anugerah ini juga merupakan permulaan kepada mereka di luar sana yang mahu memulakan perniagaan khususnya dunia food and beverages (F&B).

"Saya telah banyak membantu usahawan muda untuk membina perniagaan dan menjana pendapatan menerusi perniagaan F&B dari rumah, gerai dan restoran juga.

"Saya menganggap kejayaan ini sebagai titik pertemuan untuk kita sama-sama meningkatkan jenama perniagaan kita,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram