MENDERITA rasa kebimbangan melampau (anxiety) sejak remaja, pelakon, Scha Ellinea mengakui perkara itu makin teruk sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Scha, dia sebenarnya tidak mahu mendedahkan perkara itu kepada umum pada mulanya dan lebih selesa untuk memendamnya.
"Cuma ketika PKP, penyakit saya makin teruk menyerang sampaikan saya masuk hospital selama dua hari.
"Bermula daripada situ barulah saya sedar yang kesihatan mental sebenarnya perlu diberi perhatian.
"Sejak itu juga saya mula bersifat terbuka untuk bercerita dan berkongsi dengan mereka yang menghidap penyakit sama atau sebagai satu kesedaran kepada umum," katanya kepada Majoriti.
Ditanya mengenai tahap kesihatannya kini, jelas Scha, dia masih lagi menjalani rawatan dan perlu berjumpa doktor selama sebulan sekali.
Jelas Scha, dia bersyukur kerana masih mempunyai kawan-kawan yang sentiasa mengambil berat dan memberi kekuatan kepadanya untuk melawan penyakit tersebut.
Ditanya antara kesan anxiety terhadap hidupnya, Scha berkata, waktu tidurnya sering terganggu kerana sukar melelapkan mata.
"Saya pula kalau malam memang sudah nak tidur di dalam rumah secara berseorangan. Kadang-kadang saya punya risau sampai pukul 8 pagi pun belum tidur lagi.
"Susah nak tidur itu bukan sebab takut hantu, tapi disebabkan rasa risau mengenai perkara yang tidak perlu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram