Kedai Percuma Pak Nil buat mangsa banjir


  • Hiburan
  • Rabu, 05 Jan 2022

Pak Nil membawa barangan keperluan untuk diletakkan di Kedai Percuma Pak Nil.

BENCANA banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini menyaksikan perpaduan pelbagai kaum dalam negara yang turun membantu.

Bermula daripada bantuan makanan, sehinggalah ke bantuan tenaga seperti mencuci rumah dan sebagainya, semuanya dihulurkan secara percuma tanpa sebarang bayaran.

Golongan artis juga ramai yang turun membantu dan membuat tabung derma untuk meringankan mangsa banjir yang memerlukan.

Seorang daripadanya ialah pengacara nombor satu tanah air, Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra disapa dengan nama Pak Nil.

Berkesempatan meluangkan masa dengan memberi bantuan kepada mangsa banjir di Bukit Canggang, Banting, Selangor baru-baru ini, Pak Nil membuatkan tercetusnya idea baharu untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Idea tersebut adalah dengan mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil yang telah pun ditempatkan di kawasan tersebut pada 30 Disember lalu.

"Lagipun kawasan tersebut tidak menerima bantuan yang cukup kerana kawasannya agak terpinggir ke dalam," katanya.

Bantuan awal yang diberikan pada mulanya hanyalah makanan yang dimasak bersama-sama oleh penduduk kampung dengan bermodalkan wang kutipan daripada pengikut media sosial Pak Nil.

Namun kata Pak Nil, selepas banjir surut, masalah penduduk belum selesai kerana ramai yang terpaksa membaik pulih barangan yang telah rosak.

"Bukan itu sahaja, barang keperluan asas mereka juga tiada langsung. Daripada situ saya fikir kenapa tidak diwujudkan kedai percuma berkenaan," katanya.



Pak Nil (tengah) membawa beras yang disalurkan beberapa syarikat terhadapnya untuk membantu mangsa banjir.

Buat permulaan ketika itu, penyanyi lagu Apo menghubungi syarikat yang pernah bekerjasama dengannya seperti jenama Eskayvie dan Nakada.

"Pihak jenama itu bermurah hati untuk menghantar barang keperluan asas seperti minyak, telur, air mineral, sardin, selimut, bantal, lampin bayi dan sebagainya.

"Kemudian timbul juga idea untuk mengumpul belian barang asas ini menerusi duit sumbangan orang ramai. Saya beli sendiri barangan itu menggunakan duit sumbangan diberikan.

"Ia kemudiannya diletakkan di sebuah kedai di kawasan berkenaan yang diberi nama Kedai Percuma Pak Nil," katanya.

Dalam pada itu, Pak Nil berkata, sesiapa sahaja mangsa banjir boleh mengambil barangan keperluan di kedai tersebut.

Ujarnya, orang yang ingin menyalurkan sumbangan juga boleh berbuat demikian dengan pergi ke akaun Instagram aznilnawawihm untuk menyemak butiran lanjut atau 'bank in' ke 564735801178.

"Kedai ini akan berterusan beroperasi jika terus menerima sumbangan orang ramai atau pertubuhan kerajaan mahupun swasta," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram